Pengundi Jerai terbuka pilih pemimpin

Pengundi Jerai terbuka pilih pemimpin

UMNO perlu melihat perlunya pembaharuan di peringkat negeri dalam menarik semula sokongan pengundi pada pilihan raya umum akan datang. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERAI: Calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Parlimen Jerai yakin pengundi di kawasan itu lebih terbuka memilih parti daripada pelbagai kaum.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zulhazmi Shariff yang juga Timbalan Pengerusi DAP Kedah berkata, sentimen perkauman dan agama di Jerai hanyalah satu isu yang cuba dimainkan segelintir pihak sedangkan isu tersebut tidak timbul dalam kalangan pengundi.

“Ini yang perlu kita lakukan, satu politik baharu iaitu bukan berdasarkan sentimen perkauman sepertimana dasar DAP dan PH secara keseluruhan. Jika kita lihat, semua parti komponen dalam PH terdiri daripada parti pelbagai kaum dan berbilang bangsa.

“Kita seboleh-bolehnya tidak mahu mainkan isu sentimen agama dan perkauman yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat sedangkan realitinya hubungan antara kaum di sini tiada masalah,” katanya ketika ditemui.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi yang dipecat parti itu berkata, Jerai tidak boleh dijadikan kawasan percubaan ekoran kawasan majoriti Melayu itu tidak sesuai ditandingi DAP ekoran sentimen kaum yang masih ada kepada segelintir pengundi.

Phahrolrazi berkata, masih terdapat sentimen tidak boleh menerima DAP dalam konteks negeri Melayu seperti Kedah terutama di kawasan luar bandar walaupun dalam kolektif politik, parti itu tidak mendatangkan masalah kepada Amanah khususnya.

Zulhazmi berkata, tidak wajar sentimen perkauman dan agama dimainkan ketika pilihan raya sahaja sedangkan di peringkat Persekutuan melaungkan semangat ‘Keluarga Malaysia’.

“Kita akan buktikan, perkara ini hanyalah mainan musuh politik kita sahaja dan bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan sebarang bentuk situasi atau provokasi sepanjang tempoh berkempen ini.

Sementara itu, beliau berkata, proses berkempen berjalan lancar sehingga kini dengan semua parti komponen dalam PH turut memberi kerjasama membantunya termasuk jentera daripada Amanah.

“Walaupun wujud pergeseran antara kita dengan parti Amanah sebelum ini, perkara itu ibarat ‘perahu berlalu kiambang bertaut’. Alhamdulillah sudah ada dalam kalangan mereka yang kembali memberi sokongan kepada kita namun yang terluka juga tetap ada.

“Perkara yang penting bagi kita adalah kemenangan untuk PH dan seterusnya mengambil alih pentadbiran Putrajaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×