Pemimpin 'merajuk' akan sabotaj?

Pemimpin ‘merajuk’ akan sabotaj?

BENDERA-BENDERA parti sudah mula menghiasi jalan utama di pekan Kapar menjelang PRU15 pada 19 November ini. – FOTO/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin yang ‘merajuk’ dan protes kerana na­manya tidak dicalonkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berisiko menjejaskan kempen parti dan berpotensi melakukan sabotaj.

Bagaimanapun, perkara ini dijangka hanya melibatkan segelintir pemimpin yang terlibat.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain ber­kata, impak pemimpin-pemim­pin ‘nama besar’ yang terkeluar daripada senarai calon PRU15 ini akan dapat dilihat sepanjang waktu berkempen.

Menurut beliau, bagi menepis impak tersebut, parti-parti yang bertanding perlu menampilkan calon-calon baharu yang berkali­ber dan mampu menarik pengundi dengan ketokohannya.

“Pemimpin yang meletakkan jawatan atau merajuk akan mem­beri kesan kepada kempen parti-parti tersebut. Ini kerana pe­mimpin berkenaan mempu­nyai pengikut tersendiri tambahan pula mereka adalah ‘nama besar’ di kawasan ditandingi.

“Jadi tidak boleh dinafikan ia akan menjejaskan kempen. Sebagai contoh di Melaka, Perikatan Nasional akan menghadapi kesukaran itu walau bagaimanapun ia boleh dibaiki sekiranya calon baharu ditampilkan itu setara dengan pemimpin lama sehingga boleh meyakinkan pengundi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, akhbar melapor­kan, terdapat beberapa pemim­pin bertindak keluar daripada parti kerana tidak dicalonkan untuk PRU15, ada yang menutup bilik gerakan dan membawa ahli-ahli parti kawasan berkenaan untuk menarik diri.

Mengulas lanjut, penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Prof. Dr. Ismail Sualman berkata, jika pemim­pin yang ‘merajuk’ itu bertanding bebas ia tidak akan membawa keuntungan kepada pengundi.

“Akhir-akhir ini menunjukkan calon bebas kurang mendapat tempat, faktornya adalah kekurangan jentera dan sebagainya. Sekarang ini dalam parti pun banyak tidak yakin akan mendominasi PRU15, apatah lagi calon bebas.

“Jika bertanding sebagai calon bebas, mereka mempunyai risiko tinggi walaupun ada potensi untuk menang kerana pengundi le­bih cenderung kepada parti politik. Sebab itu adanya ‘Poster boy’ kerana ia melambangkan ketokohan yang akan membawa dan membentuk kerajaan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis po­litik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, Barisan Nasional (BN) berisiko tewas dalam PRU15 jika calon-calon yang dirasakan wajar bertanding dinafikan peluang mereka.

Katanya, golongan itu tentunya akan melakukan tindakan sabotaj seperti bekerjasama memenangkan lawan BN di sam­ping menyerang secara maya isu calon-calon parti itu.

Malah, menurutnya, mereka yang tidak dipilih juga berkemungkinan mencipta kontroversi ketika kempen PRU15 berjalan.

“Sudah pasti akan berlaku sa­botaj kerana golongan itu merasakan mereka masih mampu menjadi calon dan menang PRU15.

“Malah, para pengikut juga pasti marah dan rasa dikhianati, contohnya yang berlaku di Perlis semalam,” katanya.

Bagaimanapun, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, unsur-unsur sabatoj dalam BN masih boleh dikawal tanpa menggugatkan perpaduan dan sokongan pengundi.

Beliau yakin momentum penentangan dalam kalangan penyandang yang kecewa itu akan menurun dan tidak berlarutan sehingga ke hari pengundian pada 19 November.

“Saya tidak nafikan unsur sabotaj boleh berlaku kepada parti, biasalah mula-mula pasti ada yang marah tetapi akhirnya mereka akan akur kerana keputusan Pengerusi itu dibuat demi kestabilan BN.

“UMNO secara tradisinya memang selalu berdepan pergolakan tetapi situasi itu akan membuatkan parti menjadi lebih kuat,” katanya.

Mazlan berkata, tindakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak mencalonkan pemimpin-pemimpin UMNO yang winnable adalah langkah tepat bagi mengembalikan perpaduan dalam parti agar tidak terus dilihat berpuak-puak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN