PETALING JAYA: Calon-calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sedia dan optimis bertanding serta menghadapi saingan sengit di kawasan kerusi Parlimen masing-masing walaupun berdepan nama-nama besar politik dan berstatus menteri.
Antara calon Muda yang berdepan persaingan sengit ialah Siti Rahayu Baharin di Parlimen Tanjong Karang, Selangor; Fathin Amelina Fazlie di Parlimen Arau, Perlis dan Lim Wei Jiet di Parlimen Tanjung Piai, Johor selain calon Muda untuk kerusi Parlimen Kepala Batas, Danial Abdul Majeed.
Wei Jiet yang juga seorang peguam berkata, usaha berlipat ganda sangat diperlukan untuk menarik pengundi-pengundi di Tanjung Piai kerana calon-calon bertanding adalah sengit dan gergasi politik.
Katanya, antara strategi untuk menambat hati pengundi ini adalah dengan menggunakan alternatif dan medium lain seperti platform media sosial.
“Bagi saya, untuk menambat hati pengundi, kita perlu berfikir di luar kotak menyampaikan mesej, contohnya jika kita guna sosial media, bukan setakat buat posting sahaja, tetapi perlu buat video yang menarik seperti video-video yang kreatif.
“Pada masa sama, saya sedar pentingnya membina jalinan dan hubungan dengan masyarakat tempatan supaya masyarakat setempat ada keyakinan sera percaya dengan kepimpinan yang dibawa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Wei Jiet dicabar penyandang, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng daripada Barisan Nasional (BN) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi daripada Perikatan Nasional (PN) di kerusi Tanjung Piai.
Sementara itu, calon Muda Parlimen Arau, Perlis, Fathin Amelina mengakui berhadapan dengan dua ahli politik yang terkenal, tetapi kekal optimis sepanjang tempoh berkempen.
“Saya kekal optimis walau berdepan dengan nama-nama besar dan menggunakan strategi berkempen secara lapangan serta media sosial untuk menarik undi penduduk di sekitar Parlimen Arau.
“Buat masa sekarang, saya menyasarkan kawasan seperti pasar malam dan pasar pagi, bertemu dengan peniaga-peniaga dan pengunjung di situ untuk membuat tinjauan dan beramah mesra bersama mereka,” katanya.
Fathin Amelina Fathin berdepan ahli politik ternama iaitu penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengumumkan bertanding menggunakan tiket PN dan Datuk Rozabil Abd Rahman (BN).
Dalam pada itu, calon Muda untuk kerusi Parlimen Kepala Batas, Danial Abdul Majeed mahu menghapuskan konsep kubu kuat kerana berpendapat ia hanya memberi keselesaan kepada pemimpin.
Katanya, apabila satu tempat itu dikatakan kubu kuat mana-mana parti, pemimpin akan lebih selesa untuk tidak melakukan apa-apa perubahan atau tanggungjawabnya kerana tahu rakyattetap memilihnya sebagai pemimpin.
“Sebanyak 222 kerusi Parlimen dalam Malaysia, kita tak boleh kata mana-mana kerusi pun kubu buat mana-mana parti. Kita tidak patut memberi keselesaan kepada pemimpin kerana kuasa itu sebenarnya di tangan rakyat.
“Rakyat tidak perlu takut untuk berubah dan hapuskan konsep kubu kuat. Kita dah bagi mereka lima tahun tempoh untuk memimpin, sekiranya mereka gagal, kita ada kuasa untuk tukar pemimpin itu,” katanya.
Selain beliau, kerusi Parlimen Kepala Batas menyaksikan pertembungan antara Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN),Dr. Siti Mastura Muhammad (PN dan Hamidi Abu Hassan (Pejuang).

Siti Rahayu atau lebih dikenali sebagai Cikgu Rahayu yang bertanding di Parlimen Tanjong Karang pula berkata, kerusi itu bukanlah mudah untuk ditandingi tetapi beliau akan mengharunginya dengan penuh berhemah.
“Saya ingin menunjukkan pada warga Tanjong Karang bahawa politik boleh dilakukan secara beradab, sopan dan hormat-menghormati antara satu sama lain walaupun dengan lawan kita sendiri.
“Saya juga tak takut jika hilang wang deposit kerana akan kerja keras,untuk memastikan agenda dan perubahan yang saya ingin bawa itu sampai kepada para pengundi,” katanya. – UTUSAN










