KUALA LUMPUR: Pengarah, Ariff Zulkarnain mendedahkan filem sulung arahannya, Baga: Esok Untuk Siapa terpaksa melalui proses penapisan yang panjang selama hampir dua tahun selepas Lembaga Penapis Filem (LPF) pada awalnya mengarahkan sebanyak 16 babak dipotong.
Menurut Ariff, permintaan tersebut dibuat berikutan beberapa adegan penyalahgunaan dadah yang dianggap terlalu realistik sehingga dikhuatiri boleh mengganggu ketenteraman awam.
Bagaimanapun, enggan mengalah, Ariff bersama penerbit, Syafiq Yusof dan Syafiq Kyle mengambil keputusan untuk mempertahankan naskhah berkenaan dengan melakukan beberapa pindaan dan mengemukakan rayuan kepada LPF.
“Pada peringkat awal, terdapat 16 babak yang diminta untuk dipotong atas faktor penapisan. Kami tidak mahu mengalah, sebaliknya cuba menyusun semula jalan cerita dan mengolah babak yang dipersoalkan supaya mesej asal filem tidak terjejas.
“Kini hanya tiga babak sahaja yang dipotong. Proses itu mengambil masa kira-kira setahun kerana kami perlu berulang-alik berurusan dengan LPF,” katanya ketika ditemui pada sesi temu bual bersama pengarah dan pelakon filem Baga: Esok Untuk Siapa, pada Khamis.
Tambah Ariff, dia bersama Syafiq kemudiannya mengambil inisiatif bertemu sendiri dengan Pengerusi LPF bagi menjelaskan mesej sebenar yang ingin disampaikan menerusi filem tersebut.
“Pada peringkat terakhir, saya dan Syafiq bertemu sendiri dengan Pengerusi LPF untuk membuat rayuan.
“Akhirnya, filem ini diluluskan dengan syarat kami perlu meletakkan penafian bahawa karya tersebut tidak bertujuan mengagungkan penyalahgunaan dadah.
“Sebenarnya, sejak awal lagi kami tidak pernah berniat untuk mengagungkan dadah. Kalau babak penyalahgunaan dadah dipaparkan terlalu lembut, penonton mungkin tidak dapat merasai kesan sebenar daripada cerita itu,” jelas pengarah siri popular, One Cent Thief dan Good Boys Go To Heaven itu.
Menurut Ariff, antara kebimbangan yang dikemukakan LPF adalah berkaitan beberapa adegan yang dikatakan terlalu jelas dan realistik berpotensi untuk mengganggu ketenteraman awam.
“Menurut LPF, beberapa babak berkenaan terlalu jelas dan realistik sehingga dikhuatiri boleh mengganggu ketenteraman awam. Tetapi sebagai pembikin filem, sudah tentu saya mahu menghasilkan sesuatu yang kelihatan realistik.
“Tambahan pula, karya ini menggunakan pendekatan realisme sosial. Jadi, saya mahu penonton merasai kegelisahan dan ketidakselesaan apabila melihat situasi tersebut.
“Bagaimanapun, kami menghormati keputusan LPF dan sudah menerima perkara itu dengan hati terbuka. Sejak awal lagi kami tidak pernah berniat untuk terlalu mengangkat mengenai dadah. Saya mahu penonton berasa tidak selesa apabila menyaksikan babak tertentu,” ujarnya.
Filem yang memperoleh kelulusan dengan klasifikasi 16 itu menampilkan gandingan buat kali pertama antara Amir Ahnaf dan Amirah Razak selaku teraju utama bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 5 November ini.
Filem genre jenayah dan drama terbitan iaitu Indigo Films itu turut menampilkan barisan pelakon lain antaranya Wan Hanafi Su, Cehc Adrea, Kimal Mokhtar, Idham Maulana dan Mat Over.











