Manndzri yakin jentera lancar, menangkan parti - Utusan Malaysia

Manndzri yakin jentera lancar, menangkan parti

MANNDZRI NASIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Calon kerusi Parlimen Tenggara yakin kesemua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan Cawangan UMNO di Parlimen Tenggara akan memastikan jentera berjalan lancar untuk memenangkan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Manndzri Nasib yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara yakin komitmen pasukan yang lebih mustahak adalah untuk Barisan Nasional (BN) dan bukanlah calon.

“Cabaran menggantikan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr. Adham Baba sebagai Ahli Parlimen, saya kira tidak timbul kerana sejak awal Datuk Adham masuk ke Tenggara, kita semua memang bersama-sama.

“Saya tidak malu untuk menyatakan bahawa sebahagian pengalaman berpolitik dan mentadbir ini, kami yang muda-muda memang dapat secara langsung dan tidak langsung daripada ketua-ketua kami sama ada Dr. Adham atau Datuk Halimah Mohamed Sadique, bekas Ahli Parlimen Tenggara atau Datuk Baderi Dasuki, bekas ADUN Panti.

“Saya yakin komitmen pasukan akan memastikan jentera berjalan lancar kerana yang penting bukanlah individu, tetapi yang mustahak adalah kemenangan BN. Sebanyak 26 PDM dan 54 cawangan UMNO akan memberi kekuatan yang sama sebagaimana pernah kita mendepani cabaran PRU sebelum ini termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut berkenaan sidang akhbar yang dibuat oleh Timbalan Pengarah BN Tenggara di Pejabat UMNO Bahagian Tenggara semalam, Manndzri yang merupakan anak jati di kawasan itu berkata, Dr. Adham telah memberikan khidmat yang baik selama empat penggal di kawasan itu.

Beliau akan meneruskan kerja baik yang telah dilaksanakan Dr. Adham di samping mewujudkan kerjasama erat dengan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti dan Pasir Raja yang terdapat di kawasan itu.

“Datuk Seri Dr. Adham telah memberikan servis baik selama ini sudah empat penggal bila dimaklumkan beliau tidak sambung khidmat sebagai Ahli Parlimen Tenggara,  jadi mereka beri reaksi tetapi calon pengganti tidak dimaklumkan anak jati Tenggara, lahir, sekolah dibesarkan di Felda Pengeli Timur yang ganti Datuk Adham, masanya Tuhan sudah tentukan.

“Saya rasa kalau calon pengganti dimaklumkan awal tidak jadi peristiwa semalam sehingga diumumkan nama calon malam tadi kita lihat suasana sudah kendur. Saya yakin ada sedikit perasaan pada Datuk Adham tetapi saya tahu beliau berjiwa besar yang paling mustahak bukan sesiapa tetapi adalah parti BN,” katanya.

Sementara itu, Manndzri turut memaklumkan tekadnya yang mahu memberi tumpuan terhadap keperluan generasi muda di Tenggara terutamanya ruang dan peluang bagi meningkatkan pendapatan dan ekonomi.

“Sebuah lagi IPTA atau IPTS di Tenggara amat baik yang akan mengalirkan peluang hiliran pembangunan sosioekonomi dan di Bandar Tenggara, kita ada kawasan industri yang saya kira wajar dibugarkan.

“Namun, prasyaratnya adalah kesalingan kerajaan negeri dan Persekutuan. Johor ditadbir BN, maka Persekutuan juga wajib BN baharulah pandangan ini dapat dijayakan kerana jika berbeza kerajaan sukar untuk menjayakan harapan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya