KUD martabat produk, perkhidmatan usahawan luar bandar

KUD martabat produk, perkhidmatan usahawan luar bandar – PM

ISMAIL Sabri Yaakob diiringi murid-murid Tadika Kemas memukul gong sebagai simbolik merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa di Dataran Kerayong di Bera, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Kerajaan sentiasa prihatin dalam membantu rakyat khasnya usahawan luar bandar mengukuhkan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara bermula 2020. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Karnival Usahawan Desa (KUD) antara program pemasaran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi memartabatkan produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar dengan menyediakan platform mempromosi kemudahan serta insentif disediakan sektor awam dan swasta.

“Pada masa sama, usahawan luar bandar pula akan dapat memanfaatkan kemudahan serta insentif yang disediakan oleh kerajaan untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran baharu yang lebih luas. 

“Justeru itu penganjuran Mini KUD Bera ini diharap dapat mencapai objektif utamanya menjadi platform kepada usahawan luar bandar untuk memasarkan produk dan turut mewujudkan peluang akses pasaran kepada pemborong, pengedar dan pembeli,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Dataran Kerayong di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi penganjuran Mini KUD Bera, lebih 60 usahawan termasuk penjual masakan panas, penjaja kecil yang menjual pelbagai makanan dan minuman daripada pelbagai agensi di bawah KPLB dan usahawan tempatan menyertainya. 

Beliau berkata, antara usahawan luar bandar yang terlibat terdiri daripada perniagaan makanan dan minuman, diikuti bidang fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kecantikan dan kesihatan serta kraftangan dan produk pertanian. 

“Selain jualan usahawan, KPLB juga turut menyediakan pameran dan khidmat nasihat berkaitan keusahawanan termasuk penawaran kemudahan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) dan kemudahan pinjaman patuh Syariah di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED).

“Terdapat juga  penerangan melalui pameran Program DesaMall@KPLB; penerangan dan pendaftaran pendidikan serta TVET dan penerangan dan pendaftaran kemudahan-kemudahan pembiayaan perniagaan, latihan keusahawanan dan penyewaan premis serta pelbagai program keusahawanan yang disediakan oleh agensi-agensi di bawah KPLB,” katanya.

Selain itu beliau berkata, usahawan luar bandar sentiasa mempunyai peluang dan ruang untuk meningkatkan pencapaian sedia ada ke tahap yang lebih tinggi kerana mempunyai kepakaran, potensi dan kemudahan yang sentiasa berkembang.

Beliau mengingatkan usahawan yang ada bahawa kejayaan hari ini datang bersama komitmen yang besar dan berharap semoga para usahawan terus cekal dan memanfaatkan bantuan yang diberikan.

“Saya berdoa apa yang diusahakan pada hari ini akan membuahkan hasil dengan usahawan yang kita bantu akan terus mengorak langkah menjadi usahawan yang lebih berjaya bukan sahaja di peringkat lokal, tetapi juga dapat berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.