Kerajaan Perpaduan?

Kerajaan Perpaduan?

Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan Pakatan Harapan bergambar bersama selepas sidang akhbar di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saingan gabungan dan parti politik untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih lagi terbuka.

Setakat ini, tiada mana-mana parti yang dapat memberi jaminan boleh membentuk kerajaan selepas PRU15, Sabtu lalu.

Malah, Yang di Pertuan Agong berkenan melanjutkan proses bagi ketua parti dan gabungan politik untuk menghantar persepakatan pembentukan kerajaan dan nama calon Perdana Menteri, sehingga pukul 2 petang hari ini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, titah perkenan Seri Paduka itu adalah susulan permohonan daripada ketua parti dan gabungan yang diterima oleh pihak Istana Negara semalam.

Meskipun Perikatan Nasional (PN) memaklumkan sudah menghantar Akuan Bersumpah (SD) yang melebihi 112 sokongan, tumpuan kini terarah kepada spekulasi kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Gabungan yang membentuk Kerajaan Persekutuan dijangka melibatkan kerjasama BN dan PH berdasarkan senario di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tergantung sebelum ini.

Ini kerana Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada kerjasama dengan PN dan akan menyerahkan sendiri SD kepada Yang di-Pertuan Agong

Menguatkan spekulasi, BN dan PH Perak sudah bersetuju mengadakan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri di Perak, sekali gus melepasi majoriti mudah 30 kerusi.

Malah, sumber media turut melaporkan, BN Pahang juga hampir pasti mengekalkan kerajaan negeri apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH menyatakan sokongan untuk menubuhkan kerajaan negeri itu.

Percaturan di kedua-dua negeri itu merupakan satu isyarat jelas yang hampir pasti menggambarkan situasi sama yang berkemungkinan berlaku di peringkat Pusat.

Besar kemungkinan kerjasama PH dengan BN akan dinamakan Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, wakil BN dan PH mengadakan pertemuan di sebuah hotel di ibu negara, pagi semalam bagi membincangkan pembentukan Kerajaan Pusat secara bersama.

Bagaimanapun, spekulasi mengenai kerjasama kedua-dua gabungan itu masih belum terungkai apabila kedua-dua pimpinan masih belum memuktamadkan keputusan.

Dalam satu sidang akhbar, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perbincangan antara PH-BN adalah berkaitan penubuhan kerajaan perpaduan dan bukannya kerajaan PH-DAP.

Beliau dalam masa sama optimis PH dan BN dapat membentuk Kerajaan Persekutuan selepas berpuas hati dengan perkembangan perbincangan bersama wakil BN di sebuah hotel di ibu negara.

Mengulas mengenai kes mahkamah yang melibatkan pemimpin BN, Anwar berkata isu itu tidak berbangkit.

“Badan kehakiman adalah badan yang bebas. Perihal kerajaan adalah hanya berkaitan kerajaan sahaja. Perkara itu tidak dibincangkan,” katanya.

Sementara itu, DAP menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat pimpinan tertinggi PH berhubung gabungan bersama BN bagi membentuk Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak boleh memberikan komen lanjut berhubung perkara itu.

“Kita sebahagian daripada PH, jadi kalau ada gabungan, kita akan sokong. Saya tidak mahu cakap lebih daripada itu, ia adalah keputusan yang kita ambil bersama bukan sahaja dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tetapi bersama kepimpinan tertinggi PH,” katanya.

Dalam perkembangan lain, PN menyifatkan gabungan itu sudah memperolehi sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan selepas menghantar lebih 112 surat SD.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, SD tersebut adalah kepercayaan yang diberikan Ahli Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor juga mendakwa sekurang-kurangnya 18 Ahli Parlimen BN menyatakan kesediaan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan gabungan berkenaan menunggu jemputan Istana Negara pada bila-bila masa sahaja.

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, PN juga telah memperoleh jumlah sokongan Ahli Parlimen melebihi daripada majoriti yang ditetapkan.

“Tunggu dijemput, diundang bila-bila masa sahaja. Ya tunggu sahaja. “Sudah cukup (sokongan Ahli Parlimen), melebihi daripada cukup. Insya-Allah,” katanya kepada pemberita ketika meninggalkan kediaman Muhyiddin, semalam.

Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH menang 82 kerusi manakala PN pula 73, BN 30 kerusi, GPS (22), GRS (enam), Parti Warisan Sabah (tiga), Parti Kesejateraan Demokratik Malaysia (KDM) (satu), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan Bebas (dua).

Maka, selain GPS dan GRS, BN menjadi penentu utama untuk mencukupkan angka majoriti mudah membentuk Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, kekuatan Warisan, KDM, PBM dan Bebas tidak boleh pandang rendah kerana sokongan amat diperlukan sama ada PH atau PN untuk mewujudkan sebuah kerajaan stabil.

Namun, saingan kini terbuka dan segalanya tertakluk kepada Istana Negara setelah menerima surat akuan daripada kesemua parti, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN