Kak Mona mahu wanita terlibat ekonomi, politik

Kak Mona mahu wanita terlibat ekonomi, politik

M. MOHANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK M. MOHANA atau mesra disapa Kak Mona baru-baru ini berjanji tidak beralih parti dan terus setia dengan Barisan Nasional (BN) walaupun berdepan apa jua cabaran.

Ketua Wanita MIC itu berjanji memberi keyakinan kepada penduduk Kuala Langat supaya memberi mandat kepada calon yang benar-benar mahu berkhidmat, bukannya sekadar tunjuk muka apabila tiba musim pilihan raya.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, calon Parlimen Kuala Langat itu kini memaklumkan sudah masuk gear akhir dan akan terus menyakinkan rakyat tentang kemampuan serta kebolehannya sebagai wakil rakyat nanti.

UTUSAN : Tempoh berkempen masuk sudah minggu terakhir. Apa lagi yang akan dilakukan untuk terus menyakinkan rakyat tentang kemampuan Datuk?

MOHANA: Di saat-saat akhir ini saya mahu berjumpa sebanyak mungkin pengundi untuk menyatakan kepada mereka mandat dan manifesto. Saya mahu mereka tahu apa yang saya akan buat untuk rakyat jika terpilih dalam pilihan raya ini. Dalam masa sama saya akan terus menyantuni pengundi dan ini paling banyak saya buat.

Bagaimana peluang untuk kembali merebut kerusi ini kerana ia dikatakan kubu kuat PH?

Sudah tentu saya harapkan kemenangan. Bagus juga berdepan enam penjuru kerana ia memberi kelebihan kepada BN. Bahkan penerimaan penduduk di sini sangat bagus dalam semua komuniti. Ya, ia satu penerimaan yang sangat baik.

Mengapa memilih Kuala Langat? Kenapa tidak mempertahan kerusi Parlimen Kapar?

Itu keputusan kepemimpinan tertinggi BN sebab Kapar dulu menjadi kerusi tradisi MIC tetapi kali ini ada pertukaran kerusi. Saya diamanahkan bekerja di Kuala Langat dan saya akan lakukan yang terbaik untuk penduduk di sini.

Apakah ini kerana Kuala Langat kerusi selamat?

Saya rasa kedua-dua tempat pun selamat tetapi mungkin populasi di Kuala Langat lebih seimbang antara kaum, sebab itu barisan kepemimpinan menghantar calon MIC. Lagipun saya sudah berkhidmat dalam parti politik selama 28 tahun dan disokong oleh tiga jentera yang besar iaitu UMNO, MIC serta MCA.

Jika menang, apa yang akan dilakukan dalam tempoh 100 hari pertama?

Sudah pasti saya akan membangunkan dan menyelesaikan isu asas untuk rakyat seperti jalan raya. Selain itu, saya akan tubuhkan tiga pusat khidmat yang dinamakan Kasih Kuala Langat yang berfungsi untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat di sini 24 jam sehari. Kemudian saya juga akan pastikan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan politik. Kita akan memberi peluang kepada wanita berniaga serta memberi sokongan kepada mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×