GRS, PH dan Warisan ada kekuatan masing-masing

[ANALISIS] GRS, PH dan Warisan ada kekuatan masing-masing

PENYOKONG PH bersalaman dengan penyokong Warisan semasa proses penamaan calon PRU15, baru-baru ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAKATAN politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) termasuk Parti Warisan (Warisan) masing-masing mempunyai sandaran untuk menang atau mungkin tewas pad Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Dalam 25 kerusi Parlimen Sabah termasuk satu Parlimen di Labuan yang dipertandingkan, kesemua parti politik kerajaan dan pembangkang mempunyai naratif politik serta isu-isu berbeza yang akan disampaikan kepada pengundi di kawasan Parlimen masing-masing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, GRS yang dipengerusikan Datuk Seri Hajiji Noor berpeluang menang di peringkat Parlimen selepas kejayaannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dua tahun lalu.

“Melalui pakatan politik GRS memberi keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat bahawa ia sebagai gabungan yang stabil dan berpaksi kepada hak serta kepentingan Sabah. Inilah kekuatan yang ada pada GRS.

“Isu kestabilan politik dan keupayaan untuk menterjemah segala perancangan pembangunan adalah isu pokok yang perlu dibuktikan mereka. GRS perlu buktikan kepada rakyat bahawa pakatan ini bukan hanya kukuh di Sabah tetapi mempunyai ‘bargaining power’ yang kuat untuk menuntut hak dan kepentingan negeri,” katanya.

Senada dengan beliau, Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg yang berpandangan, GRS mempunyai kelebihan melangkaui parti-parti pembangkang melihat kepada ramai calon berwibawa yang diketengahkan.

Dengan jentera sedia ada dan aparatus kerajaan negeri, maka GRS yang sewajarnya mempunyai kelebihan ini. Isu yang akan dibawa GRS juga ialah pembangunan dan perjuangan untuk memartabatkan hak Sabah dan Sarawak.

Mingguan Malaysia sebelum ini melaporkan, parti politik dari Sabah dan Sarawak akan menjadi penentu dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu sekiranya tiada parti dari Semenanjung memperoleh majoriti mudah dalam PRU15.

Keadaan itu tidak dapat dielakkan sekiranya tiada satu atau pakatan yang dominan dalam perebutan 222 kerusi Parlimen atau memperoleh sekurang-kurangnya 112 kerusi.

Bagaimanapun, Penganalisis Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abd. Muis berpendapat, kekuatan masih cenderung ke arah parti Warisan pimpinan Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kerana pengaruh ‘Sabahan’ yang utuh di negeri ini manakala GRS masih ‘tunduk’ kepada parti Malaya atau di Semenanjung.

Meskipun GRS menerajui kerajaan negeri, kekuatan dimiliki masih jauh ketinggalan jika dibanding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak dinaungi mana-mana parti politik dari Semenanjung.

“Warisan boleh menang banyak kerusi dan parti ini masih meletakkan penyandang-penyandang kerusi Parlimen sebelum ini.

“Jika GRS membuat gerakan dan bersatu untuk mengangkat hak Sabah, ini belum meyakinkan dan ‘boleh jual’ berbanding parti Warisan yang bergerak solo,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN