Fitnah Rafizi terhadap Tuan Ibrahim memalukan

Fitnah Rafizi terhadap Tuan Ibrahim memalukan

AHMAD YAHYA (kiri) dan RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Amalan politik fitnah yang dimainkan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli terhadap Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man amat memalukan.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahya berkata, calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pandan itu tidak berhati-hati mengeluarkan kenyataan sehingga mengundang fitnah yang berleluasa terhadap kementerian berkenaan dan Tuan Ibrahim secara khusus.

“Sedangkan kesemua yang disebutkan oleh Rafizi tidak tepat dan telah dinafikan oleh kementerian berkenaan sendiri. 

“Ironinya, Rafizi hanya bergantung kepada maklumat separuh masak ‘sumber dalaman’ yang tersasar daripada realiti sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Tuan Ibrahim melalui firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid memfailkan tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung kenyataan fitnahnya berkaitan dakwaan kelulusan projek tebatan banjir yang dibuat selepas pembubaran Parlimen.

Pada Isnin lalu, Rafizi menggesa Tuan Ibrahim tampil memberi penjelasan berhubung status kelulusan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.

Rafizi mendakwa, kementerian itu dalam proses menganugerahkan projek secara rundingan terus kepada kontraktor dilantik yang sama sekali melanggar undang-undang kerana tiada sebarang keputusan, aku janji atau anugerah boleh dibuat dalam tempoh kerajaan sementara.

Sementara itu, Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah dan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pokok Sena turut mempersoal sama ada PH dan Rafizi terdesak menggunakan jalan fitnah untuk meraih sokongan rakyat.

“Dewan Ulama Pas mengecam budaya fitnah yang sering menjadi amalan berpolitik Rafizi. Pendedahan kes rasuah kononnya atas nama sebuah integriti rupa-rupanya mendedahkan beliau sendiri pada akhirnya tidak ada integriti,” katanya.

Menurut beliau, tindakan undang-undang yang diambil terhadap Rafizi juga turut disokong dewan berkenaan sebagai satu pengajaran supaya tidak berlagak pandai tetapi kosong di dalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya