Calon tarik diri, nama masih di kertas undi

Calon tarik diri, nama masih di kertas undi

KERATAN akhbar laporan muka depan Mingguan Malaysia 6 November lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua calon yang layak dan sah bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak boleh menarik diri selepas penamaan calon pada Sabtu lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, ia sebagaimana ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan raya) 1981, jika mana-mana calon menarik diri, wang deposit dilucut hak (hangus).

Bagaimanapun, menurut beliau, nama calon itu sudah ada dicetak dalam Kertas Undi.

Beliau menjelaskan, calon yang menarik diri diwajibkan mengesahkan penarikan diri dengan mengisi Borang 6 dan borang itu hendaklah diserah sendiri kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di pejabat Pegawai Pengurus Bahagian berkenaan.

“Logiknya, pilihan raya bebas dan adil. Rakyat bebas membuat keputusan untuk menawar diri menjadi calon (jika layak di sisi undang-undang Perkara 48 (1) Perlembagaan Persekutuan).

“Maka yang sudah serah Kertas Penamaan, hak dia untuk menarik diri jika dia buat keputusan sedemikian, tetapi ada penaltinya iaitu deposit dilucut hak atau hangus,” katanya di sini semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan seramai 1,386 calon layak bertanding bagi merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi PRU15 di seluruh negara.

Jumlah itu melibatkan 945 calon bertanding untuk 222 kerusi Parlimen iaitu meningkat berbanding PRU14 lalu dengan 687 calon yang memasuki gelanggang.

Bagi peringkat DUN, seramai 441 calon bertanding di 117 kerusi iaitu di Perlis, Perak, Pahang dan DUN Bugaya di Sabah.

WAN AHMAD WAN OMAR

Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata, jika melibatkan pertandingan satu lawan satu selepas hari penamaan calon, yang mana seorang daripada calon tarik diri, (dengan mengesahkan penarikan diri itu melalui serahan sendiri Borang 6 kepada pegawai pengurus), maka Pegawai Pengurus dengan segera boleh mengisytiharkan calon satu lagi sebagai menang tanpa bertanding.

Katanya, Borang 6 pengesahan tarik diri (Borang 6 untuk calon Parlimen, Borang 6A – calon DUN) dengan tandatangan saksi dan mesti diserahkan sendiri borang itu kepada Pegawai Pengurus.

“Dengan pengisytiharan calon yang menang tanpa bertanding itu, para pengundi dalam kawasan itu sudah maklum bahawa salah seorang calon telah tarik diri.

“Penarikan diri hanya boleh dan diterima jika dibuat sebelum pukul 10 pagi pada Hari Penamaan Calon. Itu pun Borang 6 (borang rasmi penarikan diri) wajib perlu di isi dan diserahkan sendiri oleh calon kepada Pegawai Pengurus sebelum pukul 10.00 pagi pada hari itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN