Calon BN Kuala Terengganu dekati pengundi muda

Calon BN Kuala Terengganu dekati pengundi muda

MOHD. Zubir Embong (belakang) menunggang motosikal ketika berkempen pada PRU15 di Kuala Terengganu, semalam. - FOTO/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Zubir Embong akan memberi fokus untuk mendekati pengundi muda pada sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, pengundi muda diberi tumpuan kerana golongan tersebut boleh menjadi penentu kemenangan calon dalam PRU15 ini.

Katanya, antara pendekatan yang digunakan termasuk kempen menerusi media sosial dalam usaha memikat pengundi muda di Parlimen ini.

“Kemenangan juga bersandarkan kepada tambahan seramai 31,720 pengundi baharu berusia 18 tahun di Kuala Terengganu, ini penting untuk masa depan mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Pada masa sama, Mohd. Zubir menambah, pengundi-pengundi BN lain juga tetap diambil berat memandangkan mereka selama ini setia walaupun parti mengalami kekalahan pada PRU14 lalu.

“Saya juga menjalankan kempen sambil mendekati pengundi setia BN yang selama ini tidak jemu-jemu mengundi BN,” jelasnya.

Ditanya mengenai keyakinannya untuk merampas kembali Parlimen Kuala Terengganu kerana ia adalah kubu kuat Pas, Mohd. Zubir berkata, perkara itu tidak mustahil kerana selera pengundi Terengganu sentiasa berubah.

“Pengundi dah berpengalaman melalui corak kepimpinan dari BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), kenang semula pada zaman pemerintahan mana yang rakyat merasa lebih senang dan selesa menjalani rutin kehidupan.

“Hanya BN sahaja yang boleh memacu negara ke arah kemajuan, kemakmuran dan paling penting menjaga kebajikan rakyatnya,” katanya.

Pada PRU15 ini, Mohd Zubir berdepan tiga lagi pesaing iaitu penyandang Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim; Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah dan Mohamad Abu Bakar Muda (Pejuang). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya