UMNO bergerak solo

UMNO bergerak solo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO memuktamadkan pendiriannya untuk bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas Pas memutuskan untuk terus bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Pre­siden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Solo,” demikian jawapan tegas Ahmad Zahid ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memaklumkan, parti itu akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan ketiga-tiga parti teras Melayu bagi menjamin kestabilan politik negara pasca-PRU15.

Katanya, Pas berpandangan perlu ada ‘keanjalan’ dalam rundingan dengan pihak UMNO dan Bersatu termasuklah ber­kenaan syarat-syarat yang dikemukakan dan run­dingan kerusi yang sedang diusahakan.

Mesyuarat itu diadakan susulan tiga syarat yang ditetapkan UMNO jika mahu bekerjasama dalam PRU15 iaitu Pas perlu keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah ‘mufarakah’ (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.

Dalam pada itu, Mohamad Hasan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, UMNO tiada masalah jika Pas menolak tiga syarat yang ditetapkan itu.

“Kita dah letak syarat itu, kalau dia (Pas) tak mahu syarat itu, tak apa lah, tiada masalah,” katanya.

Untuk rekod, peluang kerja­sama antara UMNO dan Pas ini adalah cubaan kali ketiga untuk kedua-dua parti itu bekerjasama dalam pilihan raya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Namun, kerjasama itu masih gagal direaliasikan berikutan keengganan UMNO un­tuk bekerjasama dengan Bersatu yang dianggap sebagai ‘pengkhianat’.

Selepas kekalahan dalam PRU14, UMNO dan Pas menjalinkan hubungan kerjasama dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sekali gus memperoleh banyak kemenangan.

Berikutan sambutan baik dalam kalangan ahli kedua-dua parti dan juga orang Melayu umumnya, UMNO dan Pas bersetuju membentuk Muafakat Nasional (MN) menerusi piagam MN yang ditandatangani secara rasmi pada 14 September 2019.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Pas sebenar­nya yang bersungguh-sungguh ingin mengadakan kerjasama, bukannya UMNO.

“UMNO tak beriya-iya sangat untuk bersama dengan Pas tetapi kerana Pas sahaja asyik bercakap, nak kan UMNO.

“Jadi kita sudah maklum apa pendirian Pas. Maknanya, UMNO kekal bergerak solo,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN