213 rakyat Malaysia ditahan di luar negara disyaki jadi keldai dadah

213 rakyat Malaysia ditahan di luar negara disyaki jadi keldai dadah

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 213 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki menjadi keldai dadah bagi tempoh 2024 hingga September lalu berikutan taktik sindiket pengedaran dadah yang menyasarkan golongan muda.

 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, sindiket berkenaan memperdaya golongan muda termasuk pelajar dan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi tawaran pekerjaan bergaji lumayan, pakej percutian, tiket penerbangan, penginapan serta imbuhan kewangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

 

Katanya, tawaran itu sebenarnya mempunyai risiko keselamatan yang serius apabila individu terbabit dipergunakan untuk membawa dadah merentasi sempadan negara.

 

“Sindiket turut menggunakan media sosial, platform e-dagang dan aplikasi komunikasi untuk mempromosikan kegiatan, mendapatkan pelanggan serta menjalankan urus niaga jual beli dadah.

 

“Antara modus operandi dikenal pasti termasuk penggunaan akaun palsu, kumpulan tertutup, komunikasi sementara, pembayaran tanpa tunai dan e-dompet, selain penghantaran melalui perkhidmatan kurier menggunakan kaedah bayaran tunai ketika pesanan dihantar (COD) dan lokasi serahan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai langkah  kerajaan menangani sindiket pengedaran dadah yang menyasarkan golongan muda dan graduan universiti dengan tawaran imbuhan lumayan untuk menarik mereka menjadi keldai dadah.

 

Beliau juga ingin mengetahui modus operandi terbaharu yang menyalahgunakan platform e-dagang dan pasaran dalam talian bagi penjualan dadah.

 

Mengulas langkah penguatkuasaan, Shamsul Anuar berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan risikan serta penguatkuasaan siber secara berterusan.

 

Katanya, usaha itu merangkumi pemantauan dan siasatan 24 jam sehari dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penyedia platform digital serta syarikat kurier.

 

“Hasilnya, 87 akaun disekat pada 2025, manakala 49 akaun lagi disekat sepanjang tahun ini.

 

“Kerajaan memfokuskan usaha melumpuhkan keseluruhan rangkaian, keupayaan kewangan sindiket dengan kerjasama institusi kewangan, penyedia platform dan syarikat kurier bagi mengesan dan menyekat aliran pembayaran dan penghantaran serta melaksanakan pendekatan follow the money.

 

“Kerajaan juga memperkukuh usaha pencegahan melalui pendidikan, kesedaran dan mobilisasi komuniti khususnya dalam kalangan golongan muda bagi mengelakkan mereka terpedaya dengan tawaran sindiket,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini