SPR tiada kuasa terhadap parti kempen lebih awal

SPR tiada kuasa terhadap parti kempen lebih awal

Penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung hari ini yang turut menyaksikan mereka yang tewas dalam PRU14 kembali disenarai sebagai calon.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap parti=parti politik yang berkempen dan memasang poster sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 5 November ini.

Bekas pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, kempen secara rasmi sepatutnya hanya akan bermula apabila proses penamaan calon selesai dan SPR boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada jika kempen tersebut menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

“Hanya pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti majlis perbandaran dan majlis daerah masing-masing sahaja yang boleh ambil tindakan terhadap parti-parti politik ataupun kepada individu yang tertentu melanggar peraturan berkempen dan pemasangan poster lebih awal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas pemasangan poster dan kempen-kempen politik yang semakin rancak menjelang PRU15 pada 19 November ini, beliau berkata, semua pihak sepatutnya sedia maklum tentang peraturan berkenaan.

Tambah Abdul Aziz, jika dalam tempoh kempen secara rasmi pada PRU15 ada pihak atau parti-parti politik menyentuh perkara sensitif yang boleh menyebabkan perpecahan kaum dan juga mengancam keselamatan negara, SPR akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan.

Mengikut undang-undang pilihan raya yang sedia ada seperti yang tertera dalam akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2002, aktiviti berkempen hanya boleh dilakukan selepas SPR mengumumkan nama calon yang bakal menyertai PRU15 kelak.

Urusan kempen seperti pemasangan poster, ceramah, pengedaran risalah dan kempen dari rumah ke rumah perlu dihentikan tepat pada pukul 12 tengah malam sebelum hari mengundi.

Sebarang bentuk iklan atau kempen secara haram sebelum penamaan calon dibuat sempena PRU15 adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Abdul Aziz memberitahu, buat masa sekarang, beliau difahamkan tidak akan ada perubahan yang dilakukan dari segi undang-undang untuk membenarkan parti-parti politik berkempen sebelum penamaan calon jadi saya harap PBT yang tertentu dapat mengambil tindakan sepatutnya.

“Begitu juga dengan kempen-kempen secara maya yang semakin berleluasa dan meluas, saya harap pihak bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memandang serius perkara ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×