SICHMA jamin perketat prosedur halal

SICHMA jamin perketat prosedur halal

KERATAN akhbar Utusan Malaysia yang mendedahkan status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) memberi jaminan untuk mengkaji semula operasi selain mengetatkan lagi proses dan prosedur pematuhan halal rumah sembelihan di bawah seliaan badan pensijilan halal luar negara itu.

Ia sebagai satu pengesahan bahawa pihaknya tidak lagi akan membenarkan insiden haiwan-haiwan dilemaskan dalam taku­ngan darah sebagaimana berlaku di Thomas Food Industries (TFI), di Lobethal, Australia, berulang pada masa hadapan.

Dalam surat kepada kepada Utusan Malaysia berhubung isu yang didedahkan akhbar ini April lalu, Naib Pengerusi SICH­MA, Adem Cetinay berkata, Ja­batan Pertanian Australia dan Ja­batan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibenarkan untuk menyelesaikan siasatan mereka sebelum mengeluarkan butiran lanjut mengenai kejadian berke­naan.

SIASATAN

Pada masa sama, pihaknya turut menjalankan siasatan sendiri iaitu pada 13 April lalu sebaik sahaja pendedahan media berhubung isu tersebut terma­suk melaksanakan audit mengejut pada 23 Mei berikutnya bagi melihat proses sembelihan dilaksanakan dan mengesahkan insiden yang dikatakan berlaku pada 29 Mac lalu.

“Kami akan meneruskan semakan operasi untuk mengetatkan lagi proses dan prosedur pematuhan halal kami bagi memastikan situasi berulang dapat dicegah.

“Bagaimanapun, SICHMA amat bertegas berhubung pematuhan halal dan pernah menarik balik pengesahan yang diberikan kepada masing-masing sebuah rumah sembelihan pada 2021 dan tahun ini kerana tidak mencapai piawaian halal yang ditetapkan.

“Kami juga menggantung sementara rumah penyembelihan pada tahun ini kerana mereka tidak mempunyai kakitangan halal yang mencukupi untuk memenuhi protokol halal. Tindakan itu membuktikan bahawa SICHMA tidak ditadbir atau dikawal demi keuntungan wang semata-mata,” katanya.

Adem berkata, amalan sedemikian membuktikan SICHMA tidak berkompromi dan menjunjung piawaian dan protokol halal Jakim dengan integriti dan profesionalisme yang terbaik.

Bagaimanapun, jelas beliau, piawaian halal terbaik di dunia memerlukan kerjasama semua pihak yang terlibat dan jika satu pihak gagal, maka keseluruhan rantaian akan pincang.

IKTIRAF

Menurut beliau, SICHMA mengiktiraf piawaian dan protokol halal Malaysia sebagai yang paling sukar di dunia dan menyokong serta menyepadukan piawaian ini ke dalam skim dan program pihaknya.

Pada masa sama, SICHMA akan terus memastikan pelaksanaan terbaik dalam piawaian halal dan bertindak sewajarnya apabila timbul isu ketidakpatuhan.

Dalam pada itu, SICHMA turut mengemukakan tindakan pengubahsuaian kawasan penye­mbelihan yang telah dilaksanakan TFI bagi memastikan kejadian sebegini tidak berulang.

Antaranya ialah memasang lubang limpahan di kawasan saliran darah dan sekiranya jumlah darah mencapai ketinggian lubang limpahan, darah akan mengalir ke luar dalam tub plastik.

Selain itu ialah, blok konkrit di kawasan lubang darah telah dikeluarkan bagi membolehkan kapasiti takungan darah meningkat dengan ketara dapat dikesan.

Ketinggian rantai penyembelihan telah dinaikkan sebanyak 250mm. Sekiranya masalah yang sama berlaku, kepala haiwan itu akan lebih tinggi dan tidak akan menyentuh darah selain memasang kamera litar tertutup (CCTV) tambahan untuk tujuan pemantauan lebih baik.

Sejak 14 April lalu, Utusan Malaysia mendedahkan status halal rumah penyembelihan TFI yang diragui apabila prosedur didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Laporan itu dibuat berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam taku­ngan darah binatang yang di­sembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.

Ini termasuk pengakuan terbuka sumber uta­ma bekas penyem­belih di rumah sembelihan itu yang mengakui segala dakwaan didedahkan mempunyai bukti bergambar dan rakaman video.

Susulan itu, pada 14 Mei lalu, Malaysia menggantung serta-merta kelulusan import daging dari TFI sehingga sia­satan menyeluruh selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN