PRU15: PH pertaruh Ustaz Azhar di Parlimen Marang

PRU15: PH pertaruh Ustaz Azhar di Parlimen Marang

RAJA Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (tiga dari kiri) bersama pemimpin PH Terengganu selepas melancarkan jentera PH Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, malam tadi. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pakatan Harapan (PH) Terengganu mempertaruh seorang guru agama, Azhar Abdul Shukur daripada Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai calon untuk bertanding di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, keputusan meletakkan calon dari luar kawasan bukan bermaksud ketandusan pemimpin berbakat anak tempatan, sebaliknya membuktikan parti itu berjiwa besar bagi menguji kemampuan di kubu kuat Pas di negeri ini.

Menurutnya, Azhar, 57, bukanlah orang asing di Terengganu kerana mempunyai keluarga dan perniagaan di Terengganu serta seluruh Malaysia.

“Beliau tidak perlu gunakan ceramah atau hujah agama semata-mata untuk cari pengaruh dan mata pencarian kerana beliau sendiri adalah seorang usahawan yang berjaya.

“Ustaz Azhar akan bertanding di kerusi  panas dan sukar ditembusi, namun kita (PH Terengganu) perlu beri satu alternatif kepada orang ramai bahawa masih ada agamawan yang ingin memimpin dengan lebih progresif dalam lingkungan konsep ‘rahmatan lil alamin’ (rahmat untuk sekelian alam).

“Ustaz Azhar ini bersikap terbuka dan berjiwa besar, malah beliau begitu ikhlas serta sanggup masuk ke kubu kuat Pas di Marang.

“Oleh itu, PH Terengganu menerima beliau dengan sepenuh hati dan memberi sokongan padu kepada beliau sepanjang kempen nanti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera PH Kuala Terengganu, di sini malam tadi.

Pada 2016, Azhar pernah mewakili Amanah sebagai calon bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor namun tewas.

Azhar adalah anak kepada pemimpin BN Selangor iaitu Datuk Abdul Shukur Siraj yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burung selama dua penggal dan Ahli Parlimen Tanjong Karang selama satu penggal.

 Pada PRU-14, kerusi Parlimen Marang dimenangi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 21,954 undi.

Abdul Hadi memperolehi 53,749 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Nor Endot yang memperoleh 31,795 undi, manakala calon PH daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zawawi Sulong pula 5,138 undi.

PH Terengganu agih lapan kerusi Parlimen sama rata

Sementara itu, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, PH Terengganu membahagikan lapan kerusi Parlimen di negeri ini secara sama rata antara Amanah dan PKR.

Katanya, berdasarkan persetujuan awal dua parti itu masing-masing  bertanding empat kerusi Parlimen pada PRU15, 19 November ini.

Menurutnya, Amanah akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan Besut manakala PKR akan bertanding di Kemaman, Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD

Ketika ini, Pas menguasai lima kerusi Parlimen iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Terengganu dan Setiu manakala tiga lagi dikuasai parti berlainan iaitu UMNO (Besut), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Hulu Terengganu) dan Bebas (Kuala Nerus).

Ditanya mengenai sasaran pula, beliau berkata, PH Terengganu menyasarkan kemenangan di tiga atau empat Parlimen pada PRU15 kali ini terutama di kawasan bandar yang kebanyakan pengundinya golongan terpelajar dan  berpendidikan tinggi.

“Bagi kerusi di kawasan pedalaman, mungkin agak sukar untuk kita tembusi, namun harapan ada di kerusi yang terletaknya banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.