Pengorbanan Chee Hoi Lan dihargai

Pengorbanan Chee Hoi Lan dihargai

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada Chee Hoi Lan di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kemuliaan hati seorang guru tadika, Chee Hoi Lan, 84, atau mesra dipanggil Laoshi yang membesarkan Rohana Abdullah walaupun berbeza agama dihargai apabila diumumkan penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M bagi kategori Ikon Ibu Sejati Keluarga Malaysia.

Pengumuman warga emas itu sebagai penerima anugerah di­sambut tepukan gemuruh orang ramai pada majlis itu.

Laoshi yang berkerusi roda kemudian ditolak ke pentas untuk menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum ini, kisah Rohana, 22, yang dijaga Laoshi, ibu angkatnya sejak berusia dua bulan tular dan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

CHEE Hoi Lan bersama anak angkatnya, Rohana Abdullah.

Wanita itu dipilih kerana pengorbanannya menjaga Rohana, dan memastikan gadis itu membesarkan sebagai wanita Islam.

WANG SIMPANAN

Lebih membanggakan, warga emas itu sanggup mengeluarkan wang simpanan demi memastikan anak angkatnya itu dapat mendalami syariat Islam dengan sempurna tanpa menjadikan perbezaan budaya dan agama sebagai penghalang untuk dia me­numpahkan kasih sayang kepada Rohana seperti anak sendiri.

Dalam majlis itu, tokoh korporat, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M.

Penganugerahan itu diumumkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff ketika sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.

Dalam pada itu, Syed Zainal Abidin secara peribadi amat terkejut apabila terpilih sebagai penerima anugerah tersebut.

“Anugerah Perdana Maulidur Rasul bukan satu anugerah biasa, kita nak bayangkan mana kita dengan sikap dan akhlak Rasulullah, memang agak tercabar.

“Tapi saya bersyukur kerana dengan adanya anugerah ini mungkin memberi semangat kepada saya untuk menjalankan kebaikan dan terima kasih juga kepada ayah dan ibu dan seluruh keluarga serta sahabat yang memberi sokongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN