PETALING JAYA: Kerajaan akan menyekat eksport telur ayam ke luar negara jika pemain-pemain industri pengeluaran telur berterusan mengeksploitasi sistem subsidi dan kelonggaran eksport yang diberikan.
Menurut sumber dalaman industri, pihaknya menghidu percaturan licik pemain gergasi industri telur ayam yang memberi alasan kos operasi tidak seimbang dengan harga kawalan kerajaan dan memeras kerajaan agar menyuntik puluhan juta ringgit sebagai subsidi.
Percaturan mereka nampak berjaya apabila kerajaan mengumumkan peningkatan subsidi kepada lapan sen sebiji telur berbanding tiga sen sebelum ini.
Sumber berkata, penambahan itu akan meningkatkan lagi kadar subsidi tambahan kepada industri ayam dan telur yang sebelum ini mencecah RM1 bilion bagi tempoh cuma dua bulan iaitu Julai dan Ogos tahun ini.
Katanya, walaupun kerajaan sudah memenuhi banyak tuntutan industri, namun, isu kekurangan telur masih berterusan dan kemelut ini dipercayai berakar umbi daripada sifat tamak pemain industri yang hanya mahu mengaut untung besar dengan mengeskport bekalan itu ke negara jiran.
“Langkah meningkatkan subsidi kepada pemain industri telur ayam bersifat jangka pendek. Kerajaan tak boleh bertahan lama dengan keadaan kewangan semasa. Sekarang pun sudah lebih RM90 juta subsidi sebulan disalurkan.
“Jika isu telur ini berterusan, kerajaan akan melihat kepada langkah kurangkan eksport,” kata sumber di sini, semalam.
Sumber berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa kerajaan sedang memantau secara rapat kemelut kekurangan bekalan telur dan bersiap sedia menghentikan eksport yang dipercayai dieksploitasi oleh kartel-kartel telur ayam ini.
“Kebanyakan syarikat-syarikat ini tidak kisah sangat pasal keadaan domestik, sebab mereka sudah ada pasaran eksport yang tetap,’’ katanya.
Mingguan Malaysia difahamkan, beberapa kementerian serta agensi sedang memantau bagi mendapatkan data bekalan telur seluruh negara sebelum menentukan tindakan lanjut.
“Nak tengok sejauh mana telur boleh sampai sebab banyak rungutan telur tak sampai ke peringkat luar bandar. Sebelum ini, kerajaan mendapati telur kurang di kawasan bandar saja. Tapi sekarang, ke luar bandar pun dah kurang ,” kata sumber. – UTUSAN










