Jaga air muka, standard industri seni - Utusan Malaysia

Jaga air muka, standard industri seni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYANYI bersuara emas ini memang lantang bersuara. Di sebalik raut wajah tenang dan suara yang lunak, Datuk Aishah mempunyai pandangan tersendiri apabila ditanya tentang trend pengasas produk bersilih ganti menghasilkan single. 

Bukan mahu menidakkan bakat atau menutup pintu rezeki, namun dia ada nasihat yang seharusnya dijadikan panduan. 

Bukan sekadar masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Konsepnya, asal tular. Sementelah, menganjak ke tangga usia 40 tahun dalam industri seni, penyanyi Janji Manismu ini turut meluahkan kekecewaan apabila ada beberapa rakan seperjuangannya dikecam, kononnya tidak boleh menyanyi lagi. Jawablah! mengorek isi hati wanita besi berusia 57 tahun ini.

 

KITA lihat sekarang, ramai artis senior yang dikecam lantaran tidak lagi mampu menyanyikan lagu bernada tinggi. Apa komen Aishah? 

Orang kita cepat sangat hendak kecam atau hentam orang lain. Semestinya, faktor usia memainkan peranan apabila bercakap soal perubahan suara. Semakin kita berusia, memang akan ada perubahan itu, Tetapi, kita kena faham, walaupun menurunkan key, tidak bermaksud dia sudah hilang nilai sebagai penyanyi. Mungkin saya masih boleh menyanyi menggunakan key yang sama, tetapi tidak bagi sesetengah penyanyi lain. Sayangilah penyanyi kegemaran anda. Walaupun mungkin dia tidak sehebat dahulu, dia pernah menghiburkan anda berpuluh-puluh tahun lamanya. Dia masih bersemangat menyanyi dan itu sudah mencukupi. 

 

Benarkah orang kata, jadi anak seni ini bila disuka dijulang tinggi. Tetapi, apabila buat silap sedikit, habis keluar segala kecaman. Betul? 

Bukan kena jadi artis, baru ditampar realiti. Baik berpuluh-puluh tahun menyanyi, sekali buat silap terus disingkirkan. Tiada siapa yang tidak buat kesilapan. Jangan terlalu menghukum. Kami memerlukan sokongan. Tetapi, biarlah sokongan itu membangunkan semangat, bukan merebahkan. Teguran dan kritikan juga biarlah berlapik dengan budi bahasa. Jangan terlalu rakus menegur kerana kita juga tidak sempurna. 

 

Bagi Aishah sendiri, sebagai penyanyi legenda, perlukah lagi lagu baharu? Ini kerana apabila membuat persembahan, peminat masih mahu mendengar lagu popular dan malar segar sahaja? 

Walaupun kita ada lagu hits, untuk kekal relevan kita mesti terus berkarya. Kasihan artis lama apabila sering dibanding-bandingkan dan ditolak ke tepi. Ada pula yang melihat angka pengikut di media sosial semata-mata. Mereka menilai kehebatan seseorang penyanyi berdasarkan jumlah pendengar di Spotify. Kami ini bukan reti sangat. Kalau hendak harapkan jumlah tontonan, tidak bekerjalah kami nanti. Saya mahu terus bekerja. Ini adalah dunia saya. Mahu keluarkan lagu terbaik dan buat apa yang kita suka. Saya akan lancarkan single baharu, Dari Jauh dan ada beberapa lagi material bakal menyusul. 

Komen sedikit trend usahawan yang tiba-tiba jadi penyanyi, pada masa sama dilihat seperti memalit lumpur kepada industri seni? Ada penyanyi senior menggelarkan mereka sebagai parasit dan perosak industri seni. Apa pendapat Aishah? 

Zaman sekarang ini sesiapa pun boleh buat single. Saya faham ada segelintir rakan seperjuangan yang marah dengan kehadiran mereka, tetapi kita tidak boleh menghalang. Sekarang, duduk di rumah pun boleh buat lagu. Nasihat saya, kalau betul-betul mahu jadi penyanyi, buatlah bersungguh-sungguh. Pergi belajar vokal dan perbaiki diri. Ada duit, pergi belajar. Jangan sampai orang kutuk. Jagalah ‘air muka’ industri seni. Jangan rosakkan pasaran yang ada. Memang tular, popular tetapi anda akan merosakkan telinga pendengar muda yang mungkin beranggapan ‘murahnya’ harga industri kita. 

Aishah nampaknya semakin lama kelihatan semakin muda. Ramai yang cakap Aishah muda 20 tahun selepas mengamalkan gaya hidup sihat dan semakin langsing. Ada petua atau pantang larang untuk kekal maintain?

Rasanya memang semua sudah tahu saya menjalani pembedahan bariatrik. Bukan untuk kecantikan, tetapi sebenarnya lebih kepada kesihatan. Dulu, hendak berjalan pun susah, sekarang Alhamdulillah. Saya memang menjaga pemakanan dan sentiasa bersenam. Sejujurnya, saya mahu kurangkan tiga kilogram lagi. Ada yang cakap, saya tidak makan demi kurus. Tidaklah, saya makan seperti biasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×