Helikopter seperti tergantung di ruang udara

Helikopter seperti tergantung di ruang udara – Juruterbang

KHAIRY Jamaluddin menziarahi salah seorang daripada mangsa helikopter terhempas di Cameron Highlands kelmarin di Hospital Raja Perempuan Bainon (HRPB) Ipoh, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: “Ketika melalui kawasan itu (Brinchang), saya mula berasa pelik apabila angin menolak helikopter ke atas hingga sukar untuk dikawal. Saya tidak beritahu penumpang lain kerana bimbang mereka berasa panik”.

Juruterbang helikopter jenis Airbus AS 355 F2 yang terhempas semasa pendaratan cemas di Brinchang, Cameron Highlands, Kapten Fedzrol Norazam, 43, berkata, pesawat itu seperti tergantung di ruang udara menyebabkan beliau memutuskan membuat pendaratan cemas.

Beliau bagaimanapun bersyukur dan berasa lega apabila lima pegawai perubatan termasuk seorang doktor dalam penerbangan itu terselamat meskipun mengalami kecederaan.

“Saya bersyukur semuanya selamat, itu yang paling penting. Perasaan saya sekarang, cuma mahu minta maaf kerana nahas ini terjadi.

“Walaupun ini ketentuan Tuhan, ia juga mungkin sebahagiannya kerana kesilapan saya juga, kita tidak tahu,” katanya ketika ditemui pada lawatan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Menceritakan kejadian itu, Fedzrol berkata, laluan helikopter terpaksa dilencongkan untuk melepasi Banjaran Titiwangsa berikutan laluan asal iaitu di Kampung Raja, Cameron Highlands hujan.

“Saya pilih ruang paling dekat dan saya dapati di Brinchang belum hujan yang membenarkan helikopter melalui kawasan tersebut,” ujarnya.

Namun katanya, angin menolak helikopter ke atas hingga sukar untuk dikawal.

Menurutnya, helikopter kendaliannya seperti dalam keadaan tergantung di ruang udara kawasan itu menyebabkan dia mengambil keputusan membuat pendaratan cemas.

Tambahnya, akibat kejadian itu, dia pengsan selama beberapa minit akibat pendarahan di kepala dan hanya sedar selepas mendengar namanya dipanggil.

“Saya paling akhir keluar dari helikopter dan apabila sedar, kepala saya pening. Selepas stabil saya terus panggil mereka yang lain dan pastikan mereka selamat,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 1.05 petang itu, helikopter jenis Eurocopter AS 355 F2 dikendalikan Layang Layang Aerospace Sdn. Bhd. terhempas ketika melakukan pendaratan cemas di kawasan Brinchang di Cameron Highlands semalam.

Helikopter dinaiki lima pegawai perubatan termasuk seorang doktor dan juruterbang itu dalam perjalanan dari Kampung Gawin, Gua Musang ke Pangkalan Doktor Udara (PDU) di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.

Kesemua mereka termasuk Fedrol, Munirah Abd. Rahman, 53; Zainurol Fazlan Zainudin, 40; Muhamad Azlan Hanifah, 31; Norhasikin Abu Seman, 38, dan Hashilawati Hussin, 43, terselamat dalam kejadian itu dan kini dirawat di HRPB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN