KUALA LUMPUR: Pas tidak akan berani bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana parti itu telah bersetuju sejak awal melancarkan jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, Pas tidak pernah pun memaklumkan mahu bekerjasama dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sepanjang berada dalam PN.
“Kita sudah lancarkan jentera PN, takkanlah Pas mahu kerjasama dengan UMNO lagi. Saya tidak fikir ahli-ahli Pas tidak mengikuti keputusan yang telah dipersetujui bersama parti komponen PN,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, mengikut tafsirannya, dakwaan kerjasama Pas-UMNO hanyalah setakat hubungan dan persefahaman sesama parti politik dan beliau tidak melihatnya sebagai masalah.
“Terjemahan kerjasama ini boleh dalam pelbagai cara, dan bagi saya, saya yakin apa yang disebut itulah dia. Kalau Pas mahu mengekalkan hubungan dengan UMNO tiada masalah untuk saya.
“Yang saya tahu, untuk berdepan pilihan raya nanti Pas memang bersama Bersatu dalam PN. Namun, terlalu awal kita menjangkakan semua kemungkinan ini. Tetapi, apabila UMNO sendiri tidak menyambut saranan Pas, ini kena fikir sendirilah,” katanya.
Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin baru-baru ini dilaporkan mendakwa, wujud rundingan membabitkan pemimpin tertentu dalam UMNO dan Pas mengenai keperluan satu lawan satu dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15.
Susulan itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan penjelasan Pas berhubung dakwaan tersebut dan enggan dilihat sebagai parti yang mempunyai pelbagai pendirian yang tidak baik untuk masa depan gabungan itu.
Pada 4 September lalu, Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 meluluskan usul meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) untuk memastikan situasi satu lawan satu pada PRU15.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman, rancangan Pas seolah-olah mencetuskan kekeliruan bagaimana mahu berdepan pesaing sebenarnya pada pilihan raya nanti.
Katanya, jika benar wujud kerjasama seperti dilaporkan, Pas mesti menjelaskan ‘kerjasama’ yang disebut sama ada hanya setakat jalinanan persegahaman antara kedua-dua parti.
“Inilah dilemanya sekarang, ada beberapa perkara agak kompleks dalam bentuk hubungan ini. Apabila kita bersama dalam satu wadah, sudah tentu kita perlu nampak selari dalam keputusan terutama bab hubungan.
“Contohnya, jika Pas enggan berhubungan dengan PH, maka Bersatu pun hormat. Tetapi, kalau Pas tidak mahu, kena tahu apa pula bentuk hubungan Pas dengan UMNO ini? Pas kena faham, kalau mahu berhubungan dengan UMNO pada masa sama UMNO pula menolak Bersatu, apa maksudnya,” soalnya. – UTUSAN










