PRU15: Shahidan masih relevan di Arau?

PRU15: Shahidan tidak pernah tewas di Arau

SHAHIDAN Kassim cukup berpengaruh di Parlimen Arau dan sejak 1986 hanya Allahyarham Haron Din yang mampu memberi cabaran sengit kepada Ketua UMNO Bahagian Arau itu di Parlimen berkenaan dalam pilihan raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Datuk Seri Shahidan Kassim bukan asing lagi dalam kalangan penduduk Perlis dan pastinya semua sedia maklum tentang tokoh politik itu yang cukup terkenal sejak lebih tiga dekad lalu.

Shahidan yang pernah memegang jawatan Menteri Besar sejak 1995 hingga Mac 2008 sinonim dalam kalangan penduduk Perlis dan meskipun sudah lebih 30 tahun di dalam kancah politik, beliau masih mempunyai pengaruh cukup kuat khususnya di Parlimen Arau.

Sebab itu, di mana sahaja Shahidan bertanding sejak 1986, beliau tidak pernah tewas termasuk ketika berhadapan dengan dua Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din (bekas) dan Datuk Hashim Jasin pada 2004 (DUN Tambun Tulang), 2013 (Parlimen Arau) dan 2018 (Parlimen Arau).


HASHIM JASIN

Shahidan menguasai Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum 1986, 1990, 2013 dan 2018.

Setakat ini, hanya Allahyarham Haron Din sahaja dilihat mampu memberi cabaran sengit kepada Shahidan apabila hanya tewas sekitar 1,000 undi dalam PRU13.

Lawan-lawan lain sebelum ini, seperti Tengku Abdul Rahman (Pas, 1986), Khalid Samad (Pas, 1990), Hashim Jasin (Pas, 2018) dengan kesemua mereka tewas dengan majoriti besar 5,000 ke 8,000 undi.

Pada PRU12 sekitar 2008, ketika itu, Shahidan tidak bertanding di Parlimen Arau calon dari parti itu iaitu Datuk Ismail Kassim hanya mampu menang sekitar 300 undi mengatasi Allahyarham Haron Din.

Timbul persoalan, andai Shahidan tidak dipilih sebagai calon di kawasan berkenaan dalam PRU15, mampukah calon lain mengulangi pencapaian beliau di Parlimen Arau?

Shahidan masih mempunyai sokongan dan pengaruh yang cukup kuat untuk sekali lagi diketengahkan sebagai calon di kawasan berkenaan dalam pilihan raya akan datang.

Silap percaturan, Parlimen Arau mungkin jatuh ke tangan parti lain memandangkan Pas juga mempunyai kekuatan di kawasan berkenaan.

Jangan dilupa, UMNO dan Barisan Nasional (BN) pernah tewas di Parlimen Arau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 1998. Ketika itu, Hashim mencipta sensasi memecahkan dominasi BN dengan menewaskan Ismail yang merupakan adik kepada Shahidan dengan majoriti sebanyak 1,323 undi.

Khabar angin bertiup kencang bahawa Shahidan yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau tidak dicalonkan lagi di kawasan berkenaan pada PRU15 dan jika ia menjadi kenyataan, ini akan memberi tamparan cukup hebat kepada Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Persoalannya, apakah pengundi khususnya di kawasan Arau boleh menerima calon muka baharu selepas sekian lama selesa berada di bawah kepemimpinan Shahidan?

Sama ada Shahidan masih kekal di Arau atau sebaliknya pada PRU15, kita tunggu dan lihat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN