PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menyiasat projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara menyeluruh seterusnya mendakwa individu yang menyebabkan kerajaan kerugian RM6.083 bilion.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, ini kerana laporan yang dikemukakan jawatankuasa itu berhubung kontrak antara Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) itu sudah lengkap dan tugas seterusnya harus diteruskan SPRM untuk membuat tindakan lanjut.
“Bagi saya bola sekarang di gelanggang SPRM, walaupun kita dimaklumkan bahawa SPRM memang ada buat siasatan, tetapi sampai sekarang tidak ada siapa yang tahu apakah status siasatan tersebut dan tak nampak ada siapa-siapa yang didakwa.
“Sebab itu dalam syor, kita mahu SPRM mengambil tindakan terhadap segala dapatan PAC, laporan Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dan laporan audit forensik serta menggesa pendakwaan disegerakan.
“Jadi selepas ini terserah kepada SPRM, laporan sudah lengkap,” katanya ketika dihubungi semalam.
Respons
Bagaimanapun, cubaan untuk mendapat respons daripada SPRM setakat pukul 5.30 petang semalam gagal.
Menurut beliau, susulan laporan PAC tersebut, Kementerian Pertahanan diberi tempoh dua bulan untuk memberikan jawapan berhubung tindakan susulan pendedahan kepincangan perolehan kapal LCS.
Kata beliau, malum balas itu perlu dikemukakan Kementerian Pertahanan sebelum satu prosiding tindakan susulan ditetapkan.
“Secara prosedurnya PAC akan memanggil prosiding tindakan susulan selepas ini, tetapi masa dua bulan akan diberikan kepada pihak Kementerian Pertahanan untuk menyediakan laporan tindakan susulan mereka.
“Selepas terima laporan tersebut, PAC akan tetap tarikh (prosiding) dan tindakan seterusnya,” katanya.
Kelmarin media melaporkan, PAC menyenaraikan sembilan rumusan punca kepincangan projek pembinaan enam buah LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Antara kepincangan tersebut ialah kerajaan gagal mengesan masalah kewangan BNS berhubung perolehan LCS semasa melakukan penilaian terhadap syarikat berkenaan.
Laporan PAC
Laporan PAC juga mendedahkan, kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan.
Susulan itu, PAC turut mengemukakan tujuh syor penambahbaikan, yang antaranya menyarankan Kementerian Pertahanan melihat semula opsyen dan menetapkan hala tuju terbaik bagi projek LCS dan memastikan wang awam dibelanjakan secara bertanggungjawab.
Projek perolehan LCS diberi kepada BNS pada 2011 bagi membina enam kapal tempur untuk kegunaan TLDM, dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah Menteri Pertahanan ketika itu, menakala Datuk Seri Najib Tun Razak adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
BNS dimiliki Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC), dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dipercayai antara pemegang saham terbesar syarikat tersebut.
Terdapat dakwaan kontrak perolehan berkenaan diberikan secara terus kepada BNS tanpa melalui tender terbuka.
Kegagalan projek kali pertama dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian/Jabatan Persekutuan dan juga dalam Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) Jabatan Perdana Menteri yang diterbitkan pada 2019.
Pada tahun 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengarahkan projek LCS diberhentikan dan siasatan dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah.
Pada Februari 2020 lalu, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan Jemaah Menteri membuat keputusan meneruskan projek LCS demi kepentingan TLDM.
Projek LCS
November tahun lalu pula, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn memberitahu Dewan Rakyat, kelewatan projek LCS berpunca daripada pengeluar produk tulen (OEM) memberhentikan kerja susulan masalah kewangan dan kapal LCS yang pertama akan diterima oleh TLDM pada tahun 2025.
Pada 24 Januari lalu, SPRM dilaporkan menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat berusia 49 dan 79 tahun berkaitan kontrak perolehan enam kapal LCS.
April lalu, mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebulat suara memuktamadkan supaya projek perolehan LCS diteruskan.
Keputusan itu dilaporkan dibuat selepas mengambil kira dua faktor utama iaitu LCS adalah aset diperlukan TLDM, selain akan menjejaskan 400 vendor yang terbabit dalam projek itu dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion.- UTUSAN










