Salah guna kedudukan: Pensyarah USM, adik dipenjara 3 tahun - Utusan Malaysia

Salah guna kedudukan: Pensyarah USM, adik dipenjara 3 tahun

BADARUDDIN Mohamed ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dan adiknya masing-masing dipenjara selama tiga tahun dan didenda sebanyak RM807,475 selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan kira-kira 10 tahun lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini.

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut selepas pihak pembelaan gagal membuktikan wujudnya keraguan munasabah pada akhir pembelaan terhadap kedua-dua tertuduh iaitu Prof. Badaruddin Mohamed, 56, dan adiknya, Mustafa Kamal Mohamed, 50.

Pada masa sama, Zulhazmi turut mengarahkan mereka dipenjara antara satu hingga enam bulan mengikut pertuduhan yang dikenakan jika gagal membayar denda berkenaan.

Beliau bagaimanapun membenarkan hukuman itu ditangguhkan dan memberi peluang kepada kedua-dua tertuduh untuk diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang.

Penangguhan itu dibuat selepas peguam tertuduh, Shamsul Sulaiman mengemukakan rayuan untuk pihaknya memfailkan notis di Mahkamah Rayuan. 

Zulhazmi kemudian memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport yang dimiliki selain melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan sehingga kes rayuan mereka selesai.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri.

Badaruddin sebelum ini mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama pada Oktober 2018 atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa dan kedudukan yang dimilikinya.

Ia bertujuan mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat milik adik kandungnya iaitu MK Urusniaga (M) Sdn. Bhd. bagi membekalkan pelbagai barangan untuk jabatan tempat dia bekerja membabitkan pembelian barangan seperti kamera dan barangan pejabat yang keseluruhannya bernilai RM160,163.

Badaruddin didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Komunikasi Strategik dan Sustainable Tourism Research Cluster, USM di Georgetown dekat sini antara September 2011 hingga November 2012.

Sehubungan itu, beliau didapati melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Mustafa Kamal pula didakwa atas pertuduhan bersubahat di tempat dan lokasi sama mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.