PEKAN: Difahamkan sebanyak RM10 juta telah disalurkan untuk membaik pulih Lake Chini Resort dalam kawasan Tasik Chini di sini setelah lokasi itu ditutup bermula 2019 dan mengalami kerosakan.
Namun timbul persoalan, ke mana ‘hilang’ peruntukan tersebut kerana resort yang dahulunya kepunyaan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) masih dibiarkan tidak terurus.
Utusan Malaysia difahamkan, dahulu entiti perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu UKM Holdings Sdn. Bhd. pernah menawarkan diri untuk mengambil alih resort berkenaan namun dikatakan telah pun ‘bertuan’ yang membabitkan orang politik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber memaklumkan, peruntukan besar telah pun disalurkan namun lokasi itu masih seperti ‘sampah’.
“Sekarang apa jadi? Duit rakyat entah ke mana. Begitu juga Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bersebelahan resort itu, ia juga terbengkalai, dahulu ada pihak hendak ambil alih lokasi terbabit tapi tidak dibenarkan.
“Dua lokasi terbabit terletak dalam kawasan Tasik Chini Rezab Biosfera (TCRB). Siapa yang memantau dan kenapa boleh jadi begini?,” kata sumber berkenaan di sini semalam.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, sejak ditutup bermula 2019 ekoran ketiadaan pelancong, Lake Chini Resort terletak kira-kira 0.18 meter dari Tasik Chini di sini terus dibiarkan tidak terurus hingga boleh diumpamakan resort berhantu.
Tinjauan mendapati, resort yang dahulunya cukup popular dalam kalangan pelancong dalam dan juga luar negara serta boleh ditempah secara dalam talian di Agoda dan Booking.com telah dipenuhi sampah sarap dan rumput panjang, hingga menyakitkan mata memandang.
Kira-kira 16 jenis bilik yang terdapat di resort itu juga keadaannya amat teruk seolah-olah dipecah masuk berdasarkan keadaan di dalamnya yang mengalami kerosakan termasuk pendingin hawa seperti dicuri.
Difahamkan, sejak terbiar, resort tiga bintang tersebut turut menjadi sarang penagih dadah dan perbuatan tidak bermoral khusus membabitkan remaja di tanah rancangan Felda berhampiran resort berkenaan.
Sementara itu, seorang penduduk Chini yang hanya ingin dikenali sebagai Ajie berkata, keadaan di resort itu ketika ini cukup menyedihkan jika dibandingkan sewaktu zaman kegemilangannya.
Mengulas lanjut, sumber terbabit turut mempersoalkan apa terjadi terhadap pintu gerbang TCRB bernilai RM1 juta terletak di Lake Chini Resort.
Utusan Malaysia difahamkan, daripada RM300,000 kos asalnya, peruntukan membina pintu gerbang terbabit menjadi RM1 juta.
“Pintu gerbang itu sebelum ini disyorkan supaya diletakkan di depan jalan simpang tiga dari Chini ke Pekan. Semua orang nampak dan lagipun itu permulaan zon TCRB.
“Sekarang apa sudah jadi? Pintu gerbang pun orang tak nampak, jika letak di depan jalan masuk seperti disyorkan sebelum ini pasti semua orang nampak dan tahu.
“Tapi, resort terbabit pun kini terbiar begitu sahaja, jika baca Utusan Malaysia baru-baru ini ia umpama rumah hantu. Jadi, bila ia akan dipulihkan kembali?,” soalnya. – UTUSAN










