Pas - UMNO elak bertembung di 3 kerusi Parlimen

Pas – UMNO elak bertembung di 3 kerusi Parlimen

UMNO dilihat boleh menang tanpa Pas. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas dan UMNO bersetuju kedua-dua parti tidak bertembung di tiga kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, perundingan itu adalah di peringkat kerusi Parlimen berkenaan yang membabitkan pimpinan akar umbi Pas serta UMNO dan akan dibawa ke pering­kat tertinggi bagi memutuskannya.

Tanpa menjelaskan tiga ke­rusi Parlimen berkenaan, beliau berkata, langkah itu akan diteruskan ke 24 kawasan lain supaya kerusi yang berisiko itu tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).

“Realiti yang berlaku di ba­wah sana, ahli-ahli akar umbi Pas dan UMNO terutama di ka­wasan-kawasan yang berisi­ko untuk PH menang, sangat mengharapkan kerjasama ini boleh berlaku. Oleh yang demi­kian, apabila saya melontarkan pandangan pada minggu lepas tentang 27 kerusi terlibat, mereka menyambut baik.

“Saya sendiri sedang berge­rak ke 27 kawasan yang dinyatakan, bertemu pimpinan Pas serta UMNO dan mereka sangat mengalu-alukan kerjasama politik tersebut. Setakat ini, saya telah mendapat persetujuan tiga kawasan Parlimen untuk mereka agihkan kerusi agar tidak bertembung,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kegagalan UMNO dan Pas ber­muafakat untuk mengelak pertembungan antara kedua-dua parti itu di 27 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia pada PRU15 boleh menyebabkan PH kembali berkuasa.

Pada PRU-14, sebanyak 20 daripada 27 kerusi tersebut terlepas ke tangan PH sehingga membolehkan mereka membentuk kerajaan, sekali gus menegaskan UMNO dan Pas tidak boleh bertembung di kerusi-kerusi itu.

Dalam masa yang sama, Mohd. Zuhdi turut percaya yang perkara itu akan dibangkitkan pada Muktamar Pas yang akan berlangsung di Kedah pada 1 sehingga 4 September 2022.

Mengulas lanjut, beliau ber­kata, perkara berkenaan belum dibincang bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun berharap parti itu tidak ‘mengganggu’ perancangan yang telah dibuat.

“Setakat ini, ia belum di­bin­cangkan bersama Bersatu, kerana saya tidak terlibat dalam perundingan kerusi dengan Bersatu. Sehingga hari ini, saya masih berada dalam Jawatankuasa Khas Perundingan Kerusi Muafakat Nasional, jus­teru hanya dengan UMNO yang dapat saya usahakan.

“Dan saya sebenarnya berharap Bersatu juga dapat bersama-sama dalam kerjasama untuk mengelakkan kerusi-kerusi berisiko jatuh ke tangan PH. Kerusi yang Bersatu sandang sekarang ada 10 kerusi berisiko jatuh ke tangan

PH tidak termasuk 27 kerusi yang disasarkan,” katanya.

Ahad lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menyambut baik syor supaya tidak berlaku pertembungan calon Pas dan UMNO di 27 kerusi dan ia akan dibincangkan di peringkat dalaman parti mengenai baik buruk pandangan tersebut. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.