PETALING JAYA: Terdapat syarikat subkontraktor didakwa membuat tuntutan sebanyak RM178 juta dari projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), meskipun syarikat itu baru berusia 45 hari.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, tuntutan itu sebagai yuran bagi memulakan kerja pada hari sama syarikat itu dilantik menjadi subkontraktor meskipun baru sahaja beroperasi.

Dakwanya, kejadian itu berlaku ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menyandang jawatan Menteri Kewangan pada 2012.
“Transaksi-transaksi sebegini merupakan penyelewengan yang melanggar peraturan pembayaran Kementerian Kewangan.
“Sebagai Menteri Kewangan ketika itu, Najib mesti menjawab bagaimana subkontraktor yang hanya berusia 45 hari ini boleh membuat tuntutan RM178 juta dari projek pertahanan utama negara?
“Penyelewengan-penyelewengan beginilah menyebabkan BNS (Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.) akhirnya tidak mempunyai dana (walaupun telah dibayar kerajaan) dan projek tergendala sehingga tiada satu kapal pun siap hingga ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyenaraikan tiga peristiwa mengenai bayaran yang dikatakan melanggar urus tadbir Pekeliling Perbendaharaan seperti berikut:
9 April 2012, BNS melantik Contraves Advanced Devices (CAD) sebagai subkontraktor bagi dua pakej utama bernilai RM1.2 bilion
9 April 2012 – CAD melantik CED (Contraves Electrodynamics Sdn Bhd), sebuah syarikat yang baru berusia 45 hari sebagai subkontraktor bagi dua pakej yang dianugerahkan BNS.
9 April 2012, CED membuat tuntutan RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja pada hari yang sama ia dilantik sebagai kontraktor lapisan kedua.
Kata Rafizi, keseluruhan tadbir urus kewangan negara dipandu dan dikawal oleh set Pekeliling Perbendaharaan yang menekankan, kontraktor perlu dilantik dalam kalangan pembekal paling layak berdasarkan keupayaan teknikal dan pada harga yang terbaik kepada kerajaan.
Selain itu, katanya, kontraktor perlu mempunyai kekuatan kewangan dan aliran tunai sendiri untuk menjalankan kontrak.
“Bayaran hanya boleh dibuat mengikut kemajuan projek dan dibayar secara berpatutan mengikut peratusan projek dilaksanakan, seperti yang dipersetujui mengikut dokumen kontrak yang dimeterai dengan kerajaan,” katanya.
Awal bulan ini, Rafizi memberitahu akan mendedahkan skandal penyelewengan projek LCS bernilai RM9 bilion dalam tempoh sebulan menuju Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Beliau akan menunjukkan satu demi satu penyelewengan yang berlaku termasuk syarikat palsu yang ditubuhkan untuk melarikan wang.
PAC baru-baru ini mendedahkan, tiada satu pun LCS TLDM disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion daripada keseluruhan untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat BNS secara rundingan terus.
Setakat Ogos 2022 menurut jadual asal, sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan kepada TLDM. – UTUSAN










