fbpx

Imigresen beri advokasi elak sindiket tipu kerja

KHAIRUL Dzaimee Daud

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memberi advokasi kepada orang awam mengenai sindiket penipuan kerja di negara asing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) banyak berkongsi tips dan nasihat mengenai sindiket tipu kerja menerusi laman sesawang rasminya.

“Kami tidak mempunyai kuasa untuk menghalang rakyat tempatan melawat dan bekerja di luar negara kecuali nama mereka berada dalam senarai tidak boleh keluar negara.

“Soal sama ada mereka terbabit sindiket penipuan atau ditipu sindiket penipuan adalah di luar bidang tugas jabatan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pra-pelancaran program ‘Immigration Run’ 2022 di sini, hari ini.

KHAIRUL Dzaimee Daud bersama ikon sukan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi ketika gimik perasmian Program Larian Immigration Run 2022 di Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Beliau berkata demikian susulan beberapa kes warga tempatan ditipu sindiket penipuan kerja khususnya di Kemboja akhir-akhir ini.

Sementara itu, Khairul berkata, pihaknya menyasarkan 3,000 penyertaan bagi Immigration Run 2022 yang dijadual berlangsung pada 4 September depan di Putrajaya yang diadakan bersempena sambutan Hari Imigresen 2022 dan sambutan Bulan Kemerdekaan.

“Antaraa aktiviti lain dirancang termasuk pameran agensi kerajaan, jualan trak makanan dan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik.

“Pendaftaran kini telah dibuka melalui laman sesawang TICKET2U dengan harga bayaran dari RM50 hingga RM75 mengikut kategori yang dipohon.

“Setiap peserta akan dibekalkan set race kit, iaitu baju jersey larian, medal penamat, makanan, bib nombor, beg, e-sijil serta setiap pemenang setiap kategori yang dipertandingkan akan diberikan hadiah wang tunai dan trofi,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!