SHAH ALAM: Seorang wanita didakwa mirip bekas personaliti TV3, Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November lalu ditemukan dekat sebuah hotel di Sentul, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, polis mengesahkan wanita yang tidak memiliki sebarang identiti itu bukan Zalina, 58, selepas pengesanan identiti dibuat melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, maklumat tentang penemuan wanita tersebut dilaporkan orang awam yang menjumpainya di Jalan Haji Salleh, kira-kira pukul 6 petang, semalam.
“Info terkini, hasil maklumat daripada orang awam. Seorang wanita yang dikatakan mirip dengan Zalina Azman yang dilaporkan sebagai Orang Hilang (OH) telah ditemukan di kawasan Jalan Haji Salleh, Sentul pada 22 Julai 2022 pukul 6.00 petang.
“Pegawai dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam membawa wanita berkenaan ke JPN di UTC Shah Alam dan hasil semakan identiti melalui cap jari mendapati wanita tersebut bukanlah OH yang dicari. Pengecaman oleh ahli keluarga juga dapati negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, berita kehilangan Zalina heboh apabila IPD Shah Alam berkongsi berita dan gambar wanita itu di Facebook, Isnin lalu.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Mohd. Iqbal dilapor memaklumkan graduan sarjana kewartawanan sebuah universiti di London itu mungkin hilang lebih awal berbanding 29 November tahun lalu.
Jangkaan tersebut adalah berdasarkan kali terakhir panggilan keluar masuk menerusi telefon bimbitnya yang dikenal pasti dimatikan pada 20 November.
Polis mengalu-alukan bantuan orang ramai untuk mencari Zalina dan sebarang maklumat lanjut berkaitan kes itu boleh disalurkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Sabturia di talian 016-3375269. – UTUSAN










