KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan mengenai peruntukan larangan ahli Parlimen bertukar parti perlu diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga atau lebih 148 undi.
Ini bagi memastikan keseimbangan kuasa di dalam parti-parti politik dapat dikekalkan sekali gus mewujudkan kerajaan stabil tanpa ada yang melompat ke parti lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini, Majlis Pakatan Harapan (PH) tidak ada sebarang masalah untuk menyokong dan meluluskan rang undang-undang itu.
“Tidak mudah untuk merungkaikan suatu perkara apabila mahu membuat pindaan dalam Perlembagaan. Ia perlukan dua pertiga undi wakil rakyat untuk membolehkannya berkuatkuasa,” katanya ketika ditemui di Parlimen semalam.
Semalam, wakil-wakil kerajaan diberi taklimat berkenaan RUU itu dan mengenai peruntukan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, bagi menjelaskan perkara-perkara teknikal dan takrifan mengenai lompat parti.
Ia disusuli dengan taklimat sama kepada pembangkang hari ini kemudian dibacakan buat kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, esok manakala penggulungan perbahasan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi, Khamis ini.
Ditanya jika masih terdapat ahli Parlimen yang mungkin tidak berpuas hati walaupun setelah diberi taklimat, Fahmi bagaimanapun berkata, ia bukan bertujuan menghalang proses perbahasan Dewan Rakyat.
“Saya tidak lihat perkara itu akan berlaku sebab RUU ini telah dibawa ke Parlimen tetapi dirujuk ke jawatankuasa khas diwakili semua pihak. Perkara ini baik bagi membantu kami mengetengahkan isu, memberi fokus kepada perhatian ahli Parlimen di dalam perbahasan dan memberi banyak maklumat tambahan berkenaan undang-undang ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, ia merupakan permulaan bersejarah menyaksikan kesemua pihak berusaha menghentikan perbuatan mengkhianati amanah rakyat dengan melompat parti demi kepentingan peribadi.
“Ini langkah yang baik, supaya dapat bersihkan politik daripada golongan oportunis yang cuba raih keuntungan. Seperti mereka syorkan, kita akan sokong undi untuk lulus. Yang penting dapat 148 undi seperti dipersetujui oleh semua pihak,” katanya.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim berkata: “Kami tetap akan sokong. Ini adalah usaha bersama oleh semua parti politik untuk membuat pindaan Perlembagaan dan ia patut mendapat dua pertiga majoriti.” – UTUSAN










