Lelaki lolos kawalan polis dipenjara enam tahun kes pecah rumah

Lelaki lolos kawalan polis dipenjara enam tahun kes pecah rumah

MOHAMAD Ailuddin Alif Alluvi dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas kesalahan pecah rumah dan curi Mahkamah Majistret Taiping, Perak, hari ini. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Lelaki yang meloloskan diri daripada kawalan polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping di sini Rabu lalu, dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas kesalahan pecah rumah dan curi, bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Ailuddin Akif Alluvi, 30, dijatuhi hukuman tersebut selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Dalam penghakimannya, Nizam turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu daripada tarikh ditangkap iaitu pada 22 Jun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa melakukan pecah rumah dan mencuri dua buah telefon bimbit, sebuah komputer riba, wang tunai RM3,000, seutas rantai tangan dan leher serta empat bentuk cincin dengan jumlah keseluruhan RM12,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang merupakan pekerja ladang di sebuah rumah di Kampung Redang Panjang, Ijok, Batu Kurau pada pukul 1 petang, 21 Jun 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khoo Thean Heng manakala tertuduh diwakili peguam, Ng Wei Juan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sementara itu pada prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, tertuduh yang baru selesai menjalani hukuman penjara pada Mac lalu turut mengaku bersalah atas pertuduhan melepaskan diri daripada jagaan polis pengiring, Rabu lalu 

Pengakuan itu dibuat lelaki terbabit di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Taiping, Mohamad Khairul Fathi Mohammad Khir.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan polis pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama yang ditahan secara sah bagi kesalahan jenayah di sebuah Masjid Mohd Ali Raouse, Kampung Ulu Sepetang, Taiping pada pukul 8.05 pagi, 29 Jun 2022.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 3 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, suspek berjaya ditahan dalam tempoh kurang daripada 24 jam setelah melarikan diri dari kawasan Ulu Sepetang, Batu Kurau. Suspek diberkas kira-kira pukul 2.45 pagi ketika bersembunyi di sebuah pondok kayu di kawasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya