PETALING JAYA: Malaysia perlu segera melakukan pindaan ke atas tiga akta berkaitan kanak-kanak dan pekerjaan bagi mengatasi isu 483,000 kanak-kanak yang bekerja seawal usia 15 tahun.
Akta-akta tersebut ialah Akta Pendidikan 1996, Akta Pekerja 1955 dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.
Ketiga-tiga akta itu perlu dipinda kerana banyak kelemahan terutama apabila membenarkan kanak-kanak bekerja pada usia terlalu muda sekali gus menyekat mereka daripada mendapat pendidikan lebih tinggi yang lebih menjamin masa depan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Noor Aziah Mohd. Awal berkata, Akta Pendidikan 1996 hanya mewajibkan kanak-kanak belajar sehingga sekolah rendah manakala Akta Pekerja 1955 dan Akta Kanak-Kanak Dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 pula menetapkan had usia boleh bekerja seawal 15 tahun.
Menurut beliau, susulan akta-akta lapuk tersebut menyebabkan Malaysia merekodkan 483,000 tenaga buruh muda iaitu membabitkan mereka dalam kalangan usia 15 hingga 19 tahun daripada jumlah keseluruhan 14 juta jumlah pekerja.
“Jumlah pekerja muda itu dilaporkan dalam perangkaan Kementerian Sumber Manusia pada 2021,” kata beliau.
Undang-undang
Selain itu, Noor Aziah berkata, undang-undang yang sedia ada juga tidak relevan dengan perkembangan semasa seperti tidak boleh diguna pakai untuk mentakrifkan sempadan penglibatan kanak-kanak sebagai pempengaruh.
“Kelompongan dengan aktiviti pempengaruh ini menyebabkan semakin ramai yang masih kecil lebih menumpukan untuk bergelar personaliti media sosial berbanding akademik,” katanya.
Menurut beliau, walaupun terdapat peraturan tertentu iaitu penetapan cuti dan waktu rehat untuk kanak-kanak bekerja tetapi kumpulan tersebut akan merasa letih untuk ke sekolah seterusnya kebanyakannya mengambil keputusan untuk berhenti sekolah lebih awal.
“Selain daripada meminda akta ini, kerajaan perlu mewujudkan satu Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Buruh Kanak-Kanak dengan mewajibkan pendidikan ke peringkat sekolah menengah untuk memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada pendidikan,” katanya.
Katanya, jika kelapukan undang-undang terus dibiarkan, dikhuatiri Malaysia dalam satu tertentu akan memiliki lebihan generasi tidak berkualiti.
Kegagalan
Bulan lalu, akhbar-akhbar melaporkan antara punca kegagalan 10,681 calon menduduki Sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 kerana mereka tidak berminat kembali ke sekolah selepas menceburi ekonomi gig dan segelintir lagi terjebak dengan aktiviti menjadi pempengaruh.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti UKM, Dr. Anuar Ahmad pula berkata, kerajaan perlu meminda Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 agar tempoh pendidikan wajib perlu ditingkatkan sehingga tingkatan lima.
Menurut beliau, dengan perkembangan terkini Parlimen perlu menyemak semula undang-undang sedia ada demi masa depan generasi baharu.
Pengamal undang-undang, Fadhlina Sidek berkata, undang-undang sedia ada tidak menetapkan had usia kanak-kanak untuk melayari media sosial dan menyebabkan mereka terlibat dalam urus niaga dalam talian.
Bagaimanapun, menurut beliau, ibu bapa boleh dikenakan tindakan sekiranya membiarkan anak-anak hanyut dengan media sosial sehingga mereka mengejar bergelar sebagai pemengaruh berbanding akademik.
Katanya, malah ibu bapa boleh berdepan tindakan undang-undang jika wujud elemen lucah sepanjang anak-anak melayari internet termasuk untuk menjual produk dalam talian.
“Status pemengaruh tidak terletak di bawah akta buruh, jadi sukar mengambil tindakan terhadap kanak-kanak yang terlibat,” katanya.- UTUSAN










