SHAH ALAM: Banglo Zalina Azman di Seksyen 3 di sini sudah dua kali digeledah polis bagi mengesan petunjuk kehilangan bekas personaliti TV3 itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kali pertama digeledah pada November tahun lalu dan diikuti kali kedua kira-kira dua minggu lalu.
Menurut beliau, ia turut melibatkan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9).
“Setakat ini tiada lagi (petunjuk baharu). Polis pernah geledah. Secara terperinci saya tak boleh dedahkan, cuma semakan ditemui tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah dalam rumah itu. Tiada penemuan yang ganjil dalam rumah tersebut.
“Semasa penggeledahan pun kita pernah panggil pasukan forensik IPK Selangor dan selain itu, kita gunakan khidmat unit anjing pengesan, memang tidak jumpa sebarang jejak di dalam rumah sama ada bahagian dalam atau luar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sejak kehilangan Zalina atau nama penuh Zalina Shaharah Azman tersebar, dua wanita disangka sebagai Zalina namun selepas siasatan kedua-dua individu terbabit bukan bekas pengacara rancangan Money Matters itu.
Wanita pertama ditemui di sekitar pusat bandar Shah Alam termasuk dekat sebuah kafe dan hotel yang wajahnya dirakam menerusi kamera litar tertutup.
Wanita kedua pula ditemui di Sentul, Kuala Lumpur, bagaimanapun kedua-duanya dinafikan polis berdasarkan maklumat kad pengenalan dan pengesanan identiti di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal turut memaklumkan kerja-kerja pengubahsuaian rumah Zalina dilihat melibatkan bahagian ruang tamu, namun terhenti dipercayai berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021. – UTUSAN
Berita berkaitan :










