PUTRAJAYA: Penerokaan kawasan legeh di gunung dan bukit tanpa kawalan menjadi punca kepada beberapa tragedi kepala air di negara ini yang menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
Ini termasuk kejadian di Kampung Iboi, Baling Isnin lalu yang mengorbankan tiga nyawa dan 1,500 penduduk lagi terjejas.
Ini berdasarkan kepada pemerhatian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terhadap kejadian-kejadian kepala air yang berlaku di seluruh negara sebelum ini.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Kebombaan Operasi dan Penyelamat (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, perkara itu bergantung kepada keupayaan sesuatu kawasan tadahan untuk menampung peningkatan kuantiti air hujan.
Katanya, jika hutan di gunung dan bukit yang menjadi kawasan tadahan hujan itu ‘disentuh’ tanpa perancangan dan kawalan ketat ia boleh mengakibatkan bencana.
“Sepatutnya, pokok-pokok hutan di kawasan legeh dan alur sungai berfungsi sebagai intersepsi dan infiltrasi bagi proses tapisan dan penyerapan air hujan serta memperlahankan aliran air permukaan.
“Disebabkan penerokaan tanpa kawalan, keadaan ini menyebabkan sungai tidak dapat menampung limpahan air yang banyak serta mendadak seterusnya mengakibatkan berlakunya kepala air,” kata beliau.
Cerun-cerun
Nor Hisham berkata, keadaan seumpama ini pernah berlaku dalam beberapa kejadian seperti di Hulu Langat, Telemong dan Pos Dipang yang mana air hujan bertembung dari cerun-cerun dan legeh kemudiannya turun ke sungai secara serentak.
Katanya, potensi banjir besar adalah lebih rendah jika kawasan hutan itu tidak diteroka.
“Bila ada hutan, proses intersepsi akan berlaku apabila kanopi dan silara pokok-pokok memainkan peranan melambatkan penurunan hujan di kawasan tanah.
“Seterusnya akar-akar pokok yang ada juga mampu bertindak meningkatkan fungsi tanah untuk menyerap air hujan sementara sebelum mengalir ke sungai,” katanya.
Tambah Nor Hisham, kawasan legeh sepatutnya tidak boleh disentuh atau diteroka oleh mana-mana pihak kerana ia perlu untuk menjadi zon penampan sungai.
“Tetapi sebahagian kawasan legeh tidak digazetkan, hanya sungai digazetkan menyebabkan orang boleh teroka sampai ke gigi air. Sebenarnya inilah kena ada kawalan.
“Justeru, pemantauan di kawasan berkenaan perlu dilakukan supaya kawasan legeh tidak sewenang-wenangnya diterokai sesuka hati kerana kawasan pergunungan seperti jeram dan lata direkodkan kawasan berisiko berlaku kepala air,” jelasnya.
Berisiko
Dalam pada itu, Sahabat Alam Sik (SAS) memberitahu, selain apa yang berlaku di Baling itu, dua lagi lokasi di Kedah iaitu Hutan Simpan Rimba Teloi dan Kompleks Hutan Simpan Ulu Muda di Sik berisiko menghadapi bencana kepala air ekoran aktiviti pembalakan dan ladang Musang King.
Sementara itu, penduduk setempat pula dinasihatkan tidak membina penempatan di kawasan berisiko bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Tempat-tempat berisiko seumpama ini perlu disemak semula agar tiada pembangunan dan pembinaan di sisir sungai. Ia perlu melihat kewajaran sama ada dibenarkan atau perlu ada polisi pembangunan cerun secara menyeluruh,” kata Nor Hisham.
Dalam perkembangan lain, Nor Hisham berkata, sebanyak 73 kawasan berisiko berlaku kejadian kepala air dikesan oleh JBPM di seluruh negara.
Katanya, Kedah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 20 kawasan, diikuti Selangor (17 kawasan), Terengganu (sembilan kawasan), Johor dan Perak (masing-masing enam).
Turut merekodkan kawasan berisiko berlaku kejadian kepala air ialah Kelantan dengan lima kawasan, diikuti Pahang (empat kawasan), Sarawak (tiga kawasan), Sabah (dua kawasan) dan Negeri Sembilan serta Perlis (masing-masing satu kawasan).
Dalam kejadian Isnin lalu Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan tragedi kepala air dan banjir lumpur melibatkan lima kampung di Kupang, Baling yang mengorbankan tiga mangsa dan menyebabkan 1,500 penduduknya terjejas serta puluhan kediaman rosak.
Hujan lebat lebih tiga jam di sekitar kawasan Baling membawa bersama lumpur tebal, timbunan pokok serta sisa kayu dari Gunung Inas berdekatan, mengakibatkan sebuah jambatan yang menghubungkan kampung di Sungai Iboi roboh manakala jalan utama terputus hubungan.
– UTUSAN










