SIK: Membimbangkan. Itu gambaran awal mengenai situasi di Hutan Simpan Kekal (HSK) Rimba Teloi di sini yang dibenar untuk diusahakan sebagai ladang hutan dan kini dimajukan dengan tanaman durian Musang King sejak beberapa tahun lalu.
Kawasan pembangunan di kompartment 66 dan 67 yang berkeluasan kira-kira 200 hektar itu jika tidak dipantau dan dikawal selia berisiko mengulangi episod sedih tragedi kepala air dan banjir lumpur di Gunung Inas, Baling pada 4 Julai lalu yang mengorbankan tiga nyawa.
Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia di kawasan terbabit terdapat sekurang-kurangnya empat kolam takungan dipercayai untuk kegunaan projek tanaman tersebut berada di atas puncak bukit berkenaan.
Daripada pemerhatian juga, bahagian lereng bukit sudah ditarah menjadi teres yang dipercayai bagi penanaman durian Musang King, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia mematuhi syarat 25 darjah cerun yang digariskan dalam Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).
Aktiviti semaian anak-anak pokok durian berkualiti tinggi itu juga dilihat sedang dilakukan oleh pekerja-pekerja ladang terbabit berhampiran kawasan tanaman.
Difahamkan, sebelum projek tanaman Musang King dilakukan, HSK Rimba Teloi turut terlibat dalam aktiviti pembalakan secara ‘cuci mangkuk’ yang bermakna semua pokok balak atau pokok hutan lain ditebang bersih.
Dalam masa sama, pembangunan di kawasan itu telah menjejaskan kampung-kampung sepanjang Sungai Chepir yang bergantung kepada sumber air untuk kehidupan seharian penduduk melalui kolam masyarakat yang dibina mereka secara gotong-royong.
Malah, bibit-bibit bencana telah bermula sejak penerokaan hutan di situ apabila banjir lumpur yang membawa bersama timbunan kayu sering melanda Kampung Lubuk Tualang, Kampung Belimbing, Kampung Charuk Puyuh dan Kampung Jerai.
Selain itu, Kampung Kemelong, Kampung Charuk Padang dan Pekan Sik turut tidak terkecuali daripada menerima tempias ekoran kejadian itu dengan kali terakhir banjir di tiga daripada kampung-kampung terbabit berlaku pada 27 Jun lalu.
Pada 26 Julai 2020 pula, banjir besar berlaku di situ yang turut merosakkan kira-kira 50 buah rumah termasuk kayu balak turut ‘singgah’ di rumah penduduk di Kampung Lubuk Tualang, di sini.
Sementara itu, tinjauan di bahagian hulu Sungai Chepir mendapati, air keruh yang berwarna seakan-akan ‘teh ais’ kelihatan di sepanjang aliran sehingga ke kawasan hilir yang menempatkan rumah penduduk.
Salah satu kolam air untuk kegunaan penduduk yang dipanggil ‘tandak’ di sungai berkenaan juga tidak lagi berfungsi kerana lumpur memenuhi saluran dan tempat takungan tersebut, menjadikan sumber itu tidak sesuai lagi digunakan.
Kesan banjir atau kepala air yang berkemungkinan berskala besar juga dapat dilihat pada pokok-pokok yang berada di hulu Sungai Chepir apabila bahagian kulit yang tebal sudah terkoyak yang menandakan ia pernah ditujah aliran air kuat sebelum ini.
Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee berkata, beliau pernah membuat bantahan dan menghantar laporan kepada agensi berkaitan pada 27 November 2018 tentang kawasan yang berisiko termasuk Gunung Inas dan Rimba Teloi.
“Pihak berkenaan ambil maklum namun tiada apa-apa tindakan diambil. Pada 4 Julai lalu lihatlah apa yang telah terjadi di Gunung Inas.
“Sekarang di Rimba Teloi, jika tiada tindakan drastik diambil dikhuatiri tragedi sama akan berlaku seperti yang menimpa penduduk di sepanjang Sungai Kupang di Baling yang turut meragut nyawa,” katanya di sini, semalam.
Menurut Mohd. Sobri, kerajaan perlu memastikan penggerak projek mematuhi kriteria pembukaan ladang monokultur di hutan simpan, selain mengkaji semula kelulusan EIA yang sedia ada.
Katanya, SAS turut mencadangkan agar semua kerja-kerja pembalakan, tebus guna tanah dan kuari di semua hutan simpan di Kedah dihentikan dan membuat penilaian semula impak serta kaedah-kaedah pelaksanaannya.
KEPALA AIR DI KEDAH
- 4 Julai 2022
Tragedi kepala air dan banjir lumpur dari Gunung Inas mengorbankan tiga sekeluarga termasuk janin berusia empat bulan yang dikandung salah seorang mangsa di Kampung Iboi, Kupang. - 9 November 2021
Tragedi kepala air di Hutan Lipur Bukit Wang, Jitra. Tiada mangsa terkorban kecuali dua pengunjung pusat peranginan yang terperangkap. - 18 Ogos 2021
Tragedi kepala air dan banjir lumpur di Gunung Jerai, Yan yang diklasifikasikan Bencana Geologi meragut nyawa enam penduduk berhampiran. - 12 Oktober 2017
Tragedi kepala air di kawasan air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, Langkawi mengakibatkan empat kanak-kanak meninggal dunia. –UTUSAN










