Tarif elektrik, air kekal - PM - Utusan Malaysia

Tarif elektrik, air kekal – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memutuskan tidak menaikkan tarif elektrik, membatalkan cada­ngan meng­apungkan harga ayam dan menolak kenaikan ta­rif air bagi membendung lonjakan inflasi.

Ini ekoran Malaysia menca­tatkan inflasi makanan tertinggi dalam tempoh sembilan tahun ber­ikutan tekanan kenaikan har­ga barangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat arahan itu selepas mengambil kira kebimbangan rakyat akan kenaikan harga barang.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri berkata, kerajaan terus komited menampung sebanyak RM5.8 bilion subsidi meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain.

“Kerajaan telah memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung. Sehubungan itu kadar tarif elektrik dan air kekal seperti sekarang,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan turut memutuskan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dan harga si­ling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Keputusan yang dibuat itu katanya, membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan pe­ningkatan harga dan cabaran kos sara hidup.

Inflasi makanan

Sementara itu Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, inflasi makanan di Malaysia mencecah angka 5.2 peratus tahun ini yang turut melonjakkan harga makanan ke paras ter­tinggi dalam tempoh sembilan tahun sejak November 2011.

Sebanyak 93 peratus item dalam kumpulan tersebut merekodkan kenaikan.
Makanan di rumah dan luar masing-masing meningkat ketara sebanyak 5.5 peratus dan 5.1 peratus yang menyumbang kepada kenaikan inflasi makanan tersebut.

Makanan di rumah dan luar masing-masing meningkat ketara sebanyak 5.5 peratus dan 5.1 peratus yang menyumbang kepada kenaikan inflasi makanan tersebut.

Contohnya nasi berlauk mencatat kenaikan 8.3 peratus, roti canai (7.8 peratus), makanan berasaskan mi (5.7 peratus) dan masakan ayam (5.1 peratus).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, daripada 93 peratus item yang meningkat dalam kumpulan makanan, sebanyak 29.4 peratus meningkat dalam julat kurang daripada 5.0 peratus. Sebanyak 37.7 peratus meningkat antara 5.0 hingga 10 peratus manakala 32.9 peratus meningkat lebih daripada 10 peratus.

Musim perayaan

Menurut beliau, subkumpulan daging mencatatkan peningkatan tertinggi 9.5 peratus pada Mei 2022 disebabkan oleh permintaan tinggi pada musim perayaan, diikuti kenaikan sa­yur-sayuran (8.1 peratus), susu, keju dan telur (8.0 peratus), ikan dan makanan laut (4.3 pera­tus) serta minyak dan lemak (3.7 peratus).

Jelas beliau, kos makanan yang meningkat ditambah dengan peningkatan permintaan antara punca kenaikan harga ayam kali ini.

“Ayam yang merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan daging meningkat sebanyak 13.4 peratus berbanding 7.5 peratus pada April 2022.

“Purata harga ayam pada Mei 2022 adalah RM9.70 sekilogram berbanding RM8.44 pada Mei 2021,” ujarnya.

Menurut beliau, lonjakan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini pula berpunca terutamanya daripada peningkatan harga baja, kos logistik, kekurangan tenaga buruh dan keadaan cuaca.

“Antara sayur-sayuran yang menunjukkan kenaikan tertinggi tahun ke tahun pada Mei 2022 adalah lada benggala (29.5 peratus), bendi (22.9 peratus), tomato (19.6 peratus), kacang buncis (19 peratus) dan bayam (18.5 peratus).

“Sementara itu, ikan yang paling murah dan menjadi pilihan pengguna turut meningkat, antaranya ikan pelaling yang meningkat kepada RM14.04 berbanding RM11.63 Mei tahun lalu, ikan keli RM10.05 (Mei 2021: RM9.10) dan ikan kembong RM16.65 (Mei 2021: RM14.52),” katanya.

Peningkatan

Dalam pada itu, semua kumpulan lain kecuali komunikasi turut merekodkan peningkatan dan mendorong kepada kenaikan inflasi keseluruhan 2.8 peratus.

Peningkatan dalam kumpulan pengangkutan (3.9 peratus) pula disebabkan oleh peningkatan purata harga petrol tanpa plumbum RON97 sebanyak 63.8 peratus kepada RM4.26 seliter berbanding RM2.60 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kenaikan harga minyak ini adalah kesan daripada peningkatan harga minyak mentah Brent sebanyak 65.2 peratus kepada AS$112.37 setong pada Mei 2022.

Namun begitu, harga subsidi yang dilaksanakan bagi petrol tanpa plumbum RON95 dan Diesel telah mengimbangi kenaikan inflasi kumpulan ini, yang kekal pada RM2.05 seliter sejak Mac 2021.

Inflasi teras Malaysia ketika ini mencatatkan peningkatan 2.4 peratus pada Mei 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan pengangkutan iaitu 4.7 peratus.

nflasi kini mejadi masalah global dengan negara kuasa ekonomi seperti United Kingdom merekodkan kadar inflasi tertinggi dalam tempoh 40 tahun sebanyak sembilan peratus manakala Jepun 2.5 peratus terburuk dalam tempoh tujuh tahun.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN