Revolusi dadah pantas, polis kena dibekal alat canggih - Utusan Malaysia

Revolusi dadah pantas, polis kena dibekal alat canggih

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 900 jenis dadah yang mengandungi bahan psikoaktif baharu (NPS) dikesan berada dalam pasaran tempatan dan global ketika ini sekali gus menjadi isyarat bahawa bahan khayal itu berevolusi secara drastik.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lebih membimbangkan apabila revolusi dadah itu terlalu cepat sehingga tidak selari dengan undang-undang atau akta dadah sedia ada di semua negara termasuk Malaysia.

“Contoh di Malaysia di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 setakat ini hanya membabitkan 66 jenis dadah NPS yang diwartakan dalam senarai dadah berjadual sekali gus boleh diambil tindakan sekiranya terdapat penyalahgunaan.

“Namun mengikut perkembangan terbaharu di bawah Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Jenayah dan Dadah (UNODC), dadah sintetik terkini mempunyai lebih 900 jenis.

“Daripada jumlah tersebut yang kita warta cuma 66 jenis dan itu sahaja boleh diambil tindakan. Ini bermakna ada lebih 800 yang belum diwartakan dan kalau kita tangkap atau temui individu berkenaan tidak boleh didakwa kerana tidak ada undang-undang mengatakan barang tersebut salah,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

800 dadah

Menurut Ayob, pi­hak­nya tidak menolak kemungkinan ada antara 800 dadah yang bukan dalam senarai dadah diwarta itu telah masuk ke pasaran tempatan namun tidak dapat dikesan.

Justeru, kata beliau, semua agensi kerajaan perlu bekerjasama bagi mengemas kini senarai dadah terlarang dalam usaha memerangi dan menangani masalah penyeludupan serta penagihan yang lebih serius.

“Ia (mewartakan dadah) mengambil masa dan kita tidak boleh ambil tindakan sewenang-wenangnya kalau kemunculan dadah baharu itu tidak diwartakan. Kita perlu ingat dadah ini sentiasa direvolusikan,” jelasnya.

NPS mula dikesan di Malaysia pada 2016 apabila menjadi pilihan kaki-kaki kelab malam kerana jenis tersebut boleh memberi kesan khayal sama seperti dadah lain tetapi lebih ‘istimewa’ kerana tidak boleh dikesan mela­lui ujian air ken­cing.

Dadah sintetik tersebut adalah kandungan bahan yang di­salah guna bertujuan meniru ubat-ubat terkawal yang boleh me­nimbulkan kemudaratan ke­sihatan.

Selain itu, negara-negara di Asia didakwa menjadi pengguna kedua terbesar dadah jenis NPS selepas Amerika Sya­rikat kerana dadah tersebut sukar dikesan menerusi ujian air kencing.

Hukuman mati

Dalam perkembangan lain, Ayob berkata, adalah wajar hukuman mati di negara ini dikekalkan untuk kesalahan tertentu termasuk penyalahgunaan dadah.

“Bagi saya, hukuman mati dapat menggerunkan sesiapa sahaja yang cuba terlibat de­ngan dadah. Ia juga merupakan satu peringatan termasuk orang luar. Mereka (rakyat negara lain) pun telah diberi peringatan ketika masih berada dalam kapal terbang sebelum mendarat. Jadi tiada alasan.

”Sama ada orang itu meng­ambil tahu, tidak mahu meng­ambil tahu atau buat-buat tidak tahu, ia bukanlah satu hujah pembelaan. Kita ada undang-undang dan hormati undang-undang itu. Ia (undang-undang) bukan dibuat di tepi jalan.Selagi mana tidak dipinda, setiap kesalahan yang dilakukan akan dikenakan tindakan,” ujarnya.

Sementara itu, Ayob berkata, masalah dadah hanya mampu dibanteras dengan le­bih proaktif jika JSJN dibekalkan peralatan lebih berteknologi tinggi seiring modus operandi sindiket yang semakin licik.
Menurut beliau, pihaknya ti­dak boleh bergantung kepada tenaga manusia semata-mata ketika menjalankan operasi.

“Sindiket-sindiket dadah ini dah kaji macam mana cara polis jalankan operasi sebab itu peralatan penting dan tidak boleh bergantung pada manusia sahaja. Mereka ini dah semakin licik dengan modus operan­dinya.
“Sudah tentu peralatan-peralatan yang canggih mampu membantu JSJN ketika operasi dan siasatan dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Ayob berkata, JSJN turut berharap anggota dan pegawai jabatan itu dapat ditambah dari semasa ke semasa sehingga mencapai nisbah seorang anggota untuk 561 penduduk dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding kini iaitu 1: 6,076 orang.

“JSJN kini mempunyai kira-kira 6,000 perjawatan atau kira-kira empat peratus berbanding kekuatan keseluruhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 135,000 orang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN