Bekalan air di Selangor bertahan enam bulan ketika kemarau - Utusan Malaysia

Bekalan air di Selangor bertahan enam bulan ketika kemarau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekalan air di Selangor dikatakan mampu menampung keperluan kira-kira 6.5 juta penduduk untuk tempoh sehingga enam bulan jika berlaku cuaca panas atau kemarau yang panjang.

Malah, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga menyasarkan penyimpanan bekalan melalui kolam tadahan di seluruh negeri bagi kegunaan sehingga sembilan bulan apabila keseluruhan 26 kolam yang disediakan berfungsi sepenuhnya.

Persediaan dilaksanakan pihak berkuasa pengurusan air itu adalah berdasarkan pengalaman cuaca panas tanpa hujan selama dua bulan yang pernah melanda negara sebelum ini.

Menurut Pengarahnya, Hasrolnizam Shaari, sehingga kini terdapat 20 buah kolam tadahan air dekat setiap daerah di seluruh negeri sedang berfungsi yang mampu membekalkan sehingga 5 bilion liter air sehari.

“Jika berlaku kemarau, ita tidak mahu melihat, LUAS terpaksa mencatu bekalan air atau menutup bekalan. Sebab itu hari ini LUAS bekerja keras dengan program-program kerajaan negeri untuk memastikan bekalan air di simpan dan sedang usahakan semua air disimpan mampu digunakan pada bila-bila masa.

“Kita mungkin akan berhadapan kemarau panjang pada 2025 dan ke atas, itu adalah jangkaan daripada pakar-pakar. Jadi, di Selangor kita membuat alternatif simpanan air melalui Operasi Pengepaman Air Kolam Alternatif (OPAK) dan pengambilan air dari Sungai Klang melalui Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau,” kata beliau dalam Majlis Hi-Tea LUAS bersama Media hari ini.

Katanya, pengaktifan bekalan alternatif dari Sungai Klang dijangka memberikan tambahan  20 hingga 30 peratus daripada bekalan air yang ada ketika ini.

Dalam pada itu, Hasrolnizam turut memaklumkan bekalan air di negeri ini mampu menampung peningkatan penduduk sehingga 1.2 juta di seluruh Lembah Klang.

“Untuk bekalan 5 bilion liter air, kita ada 34 LRA di seluruh negeri, yang terbesar di Sungai Selangor. Di situ sahaja bekalkan 3 bilion liter sehari dari fasa satu hingga tiga. Ada juga loji-loji yang kecil mambu bekalkan air sekitar 10 juta liter sehari.

“Kita juga mampu menampung penambahan penduduk yang dijangka meningkat sehingga 1.2 juta dengan meningkatkan bekalan kepada 6 bilion liter sehari.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya