Rakyat sifatkan isu air melampau, membebankan - Utusan Malaysia

Rakyat sifatkan isu air melampau, membebankan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Orang ramai menyifatkan kekerapan masalah gangguan bekalan air di negeri itu sudah melampaui batas dan membebankan.

Keperitan itu semakin dirasai berikutan mereka terpaksa berdepan risiko tinggi untuk mendapatkan bekalan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar daerah ini mendapati rata-rata penduduk tidak sempat menyimpan air kerana hanya mengetahui gangguan bekalan pagi semalam sedangkan bekalan dihentikan tengah malam.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sri Sedeli, Taman Sri Andalas, Tukimin Sarlan, 65, berkata, pihaknya amat kesal dengan masalah air di negeri ini yang masih tiada berkesudahan.

“Pada bulan ini, beberapa kali telah berlaku gangguan bekalan di Selangor yang disifatkan amat melampau.

“Apatah lagi kini kami masih dibelenggu PKPB bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bagi Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Banang 9/10, Arun Kumar, 33, pihak berkaitan seharusnya memikirkan faktor tindakan atau langkah pencegahan bagi mengelak berlaku masalah pencemaran air.

“Jangan hanya bertindak selepas berlakunya sesuatu kejadian sehingga menyebabkan gangguan yang menyusahkan rakyat.

“Mereka sepatutnya mengambil langkah pencegahan termasuk memantau lokasi yang berisiko berlakunya pencemaran terutama kilang-kilang haram,” katanya.

Kekesalan turut diluahkan pesara swasta dari Kapar, Ibrahim Ayob, 64, yang menyifatkan isu itu amat membebankan warga emas sepertinya.

“Bayangkan bagaimana keadaan kami yang bukan hanya sukar mengambil bekalan air malah berisiko terdedah dengan risiko Covid-19.

“Kerajaan negeri perlu lebih serius bagi menangani masalah ini yang dilihat semakin teruk dan seolah-olah tidak terkawal,” ujarnya.

 

Pada masa sama, kepayahan dirasai peniaga gerai makan apabila mereka turut menerima tempias termasuk menutup sementara perniagaan akibat masalah gangguan bekalan air hari ini.

Peniaga makanan, Mariah Yusoff, 35, berkata, dia terpaksa berulang alik dari rumahnya sejauh dua kilometer untuk mengambil air.

“Masalah gangguan bekalan ini sememangnya terlalu kerap berlaku hingga menjejaskan operasi harian kedai saya.

“Jumlah pendapatan juga semakin merosot apatah lagi ketika pelaksanaan PKPB yang masih berkuat kuasa ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN