PETALING JAYA: Harga semua barang keperluan dijangka melonjak sekitar 50 hingga 60 peratus mulai bulan depan susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dan sikap peniaga yang tamak untuk mendapat untung besar.
Malah beberapa harga barangan keperluan asas seperti ayam, daging dan hampir semua sayur-sayuran telah menyaksikan peningkatan sebelum Hari Raya Aidilfitri minggu lalu.
Lonjakan harga barang semakin dirasai apabila rangkaian Eco Shop yang popular dengan harga setiap barangnya hanya RM2.10 turut mengumumkan akan dinaikkan kepada RM2.40 mulai 1 Jun ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di seluruh negara mendapati kebanyakan peniaga sudah menaikkan harga barang.
Pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, peningkatan harga semua barang keperluan asas seperti membabitkan barang mentah makanan sekali gus turut memberikan kesan berantaian membabitkan kedai makan dan restoran-restoran.
Gaji minimum
Menurut beliau, sebelum pelaksanaan gaji minimum RM1,500, harga barang sebelum itu turut meningkat sehingga 30 peratus atas pelbagai faktor antaranya kerana permintaan tinggi tetapi penawaran kurang serta isu global membabitkan perang Rusia dan Ukraine.
“Peningkatan harga barangan bergantung kepada permintaan dan penawaran apatah lagi ditambah pula gaji minimum RM1,500 dan menyebabkan kuasa membeli bertambah, jadinya peniaga mengambil kesempatan meningkatkan harga.
“Selain itu, perang Rusia dan Ukraine menjejaskan sektor import dan menyebabkan penawaran kurang sedangkan permintaan tinggi lebih-lebih lagi kuasa membeli meningkat dengan gaji minimum bertambah, maka peniaga akan meningkatkan harga barang, jadi pengguna pun tiada pilihan terpaksa beli demi kelangsungan hidup,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Bermula hujung Mei ini, semua pekerja di negara ini bakal menikmati gaji minimum RM1,500 berbanding RM1,200 sebulan bagi majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih.
Selain itu, ketetapan gaji tersebut turut melibatkan majikan yang menjalankan sesuatu aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) 2020 iaitu profesional sains dan kejuruteraan, kesihatan, perguruan, perniagaan dan pentadbiran, teknologi maklumat dan komunikasi.
Memboikot
Susulan itu, Barjoyai menggesa persatuan dan pembeli untuk memboikot peniaga yang meningkatkan harga barangan tanpa alasan munasabah supaya dapat memberi peringatan kepada mereka agar tidak membebankan kehidupan rakyat.
Katanya, sikap pengguna negara ini yang terlalu mudah percaya dan berlembut dengan peniaga menyebabkan mereka dibuli sehingga sanggup membayar harga tinggi dan tidak setimpal.
“Misalnya harga ayam, kalau kita boikot seminggu, cuba tengok apa akan berlaku kepada nasib peniaga dalam tempoh tersebut. Kalau negara lain, mereka ambil pendekatan boikot, tetapi tidak pula di negara ini,” katanya.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Saravanan Thambirajah berkata, pihaknya menerima banyak laporan berhubung kenaikan harga barang sebelum Hari Raya Aidilfitri khususnya menyaksikan peningkatan harga makanan sehingga 50 sen.
Beliau mengingatkan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan mengambil tindakan undang-undang segera jika menerima aduan.
Katanya, tiada alasan peniaga meningkatkan harga memandangkan kerajaan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kesan peningkatan harga barang termasuk mengurangkan kos operasi perniagaan.
“Oleh demikian, pengguna digesa untuk melaporkan segera kepada KPDNHEP jika terjumpa peniaga menaikkan harga barangan supaya tindakan dapat diambil dengan segerai,” katanya.
Sayur-sayuran
Sementara itu, di Johor Bahru, JOHOR, harga sayur-sayuran seperti kacang buncis misalnya menyaksikan kenaikan antara RM2 ke RM3 bagi setiap kilogram (kg) apabila ia kini dijual pada harga RM15 berbanding RM12 sebelum ini.
Malah, harga 1kg brokoli juga naik kepada RM14 hingga RM15 berbanding RM12, selain beberapa sayuran segar seperti cili hijau, kubis, sawi yang dikesan naik sekitar RM1 atau lebih.
Seorang pengguna, Aisyah Halim, 36, berkata, kenaikan harga barangan di negeri itu juga berkemungkinan disebabkan faktor pembukaan sempadan Johor-Singapura yang menyaksikan kuasa beli rakyat negara itu lebih tinggi berbanding pembeli tempatan.
Di Sungai Petani, KEDAH, seorang peniaga kedai runcit di Taman Ria Jaya di sini yang mahu dikenai sebagai Baashir berkata, dia tidak mempunyai pilihan kerana kebanyakan barangan keperluan harian seperti susu pekat, sardin, tepung gandum, minyak masak dijual lebih tinggi oleh pemborong.
Menurut Baashir, sebelum ini, harga sekotak tepung gandum berisi 12 peket sekitar RM19 tetapi sekarang mencecah RM23 yang menyebabkan dia tidak lagi boleh menjual RM1.80 sepeket.
Kekurangan bekalan
Di Kuala Terengganu, TERENGGANU, peniaga kedai runcit dikenali sebagai Nurul Abdullah, 37, berkata, kekurangan bekalan turut menyebabkan peningkatan harga barangan itu, selain faktor pelaksanaan gaji minimum.
“Segelintir barangan mencatatkan kenaikan antara 30 sen hingga RM1 termasuk susu tin pekat manis yang kini berharga RM3.20 berbanding RM2.50 sebelum ini. Harga tepung turut meningkat 40 sen daripada RM2.50 kepada RM2.90 di samping roti, sardin dan tidak mustahil harga akan terus melonjak tidak lama lagi,” katanya.
Dalam pada itu, di Kota Bharu, Kelantan, peniaga kecil-kecilan di pinggir bandar turut merungut apabila harga kebanyakan banyak runcit meningkat mendadak sebaik kerajaan mengumumkan pertambahan gaji minimum kepada RM1,500.
Seorang peniaga, di Wakaf Bharu yang mahu dikenali sebagai Salbiah berkata, jika harga barang di Eco Shop sudah dinaikkan kepada RM2.40, perkara tersebut menunjukkan harga barang di negara ini sedang melonjak.
“Eco Shop adalah kedai paling digemari penduduk negeri ini, tetapi ia juga terpaksa dinaikkan kerana kos semua barang naik.Tiada barang yang turun.
“Saya yang menjual sayur-sayuran untuk makan harian juga tidak dapat mengelak terpaksa menaikkan harga antara RM1 hingga RM3 bagi menampung kos yang ditolak pemborong,” kata Salbiah. – UTUSAN










