Banyak doktor muda mahu bunuh diri - Utusan Malaysia

Banyak doktor muda mahu bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) atau doktor muda yang menjalani latihan klinikal (housemanship) hampir membunuh diri kerana mengalami tekanan perasaan teruk akibat persekitaran toksik dan budaya buli di hospital awam.

Perunding motivasi, Hushim Salleh mendedahkan perkara itu antara pengalaman sesi kaunseling bersama kira-kira 40 doktor muda yang datang berjumpa dengannya.

Ini bagi mendapatkan khid­mat nasihat kerana masalah mental yang berpunca daripada masalah persekitaran di tempat kerja yang tidak sihat.

Menurut beliau, masalah tersebut bukan satu perkara baharu kerana berlaku sejak 2000 dan membabitkan doktor muda yang sedang menjalani latihan klinikal.

“Selain hampir cuba bunuh diri, mereka mengalami masalah kemurungan dan tekanan perasaan sehingga sanggup berhenti menjadi doktor pelatih walaupun baharu sahaja dua minggu menjalani latihan klinikal.

“Mereka mengatakan tidak tahan terima makian dan kata-kata kesat dilemparkan doktor senior di hadapan pesakit sekali gus perbuatan itu memberikan kesan mendalam kepada diri masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin akhbar ini me­laporkan doktor muda yang menjalani latihan klinikal (housemanship) di hospital-hospital kerajaan me­ngakui persekitaran tempat kerja mereka sangat tidak sihat apabila 60 peratus dalam kalangan mereka tertekan ke­rana dibuli.

Perkara itu susulan laporan media seorang doktor pelatih lelaki meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari ba­ngunan di Georgetown, Pulau Pinang.

Mengikut maklumat, kejadian berlaku pada 17 April lalu atau lebih tiga minggu lalu sebelum ia ‘dihidu’ media.

Dalam pada itu, Hushim memberitahu, doktor muda terlibat bukan sahaja terkejut de­ngan persekitaran toksik yang berlaku tersebut malah mereka menyifatkan pekerjaan itu tidak seindah seperti dikhabarkan selama ini.

Justeru kata beliau, persekitaran dan budaya buli tersebut perlu dihapuskan segera kerana jika dibiarkan berlarutan akan menjejaskan kualiti sistem perubatan di negara ini.

“Kita kena ubah pendekatan membimbing dan bukannya membuli. Tetapi sebaliknya yang berlaku adalah pembunuhan karakter oleh doktor-doktor senior kepada junior dengan menghamburkan kata-kata kesat,” jelasnya.

Hushim mencadangkan Kementerian Kesihatan untuk memberikan latihan keyakinan diri kepada doktor-doktor muda sebelum penempatan latihan klinikal dilakukan agar perkara itu memupuk jati diri ketika bertugas kelak.

“Kita kena pupuk dan tingkatkan dalam diri mereka untuk bergelar seorang doktor kenalah berjiwa besar, dan bukannya membuli mereka sehingga mereka tertekan dan yang rugi adalah kerajaan sendiri,” katanya.

‘KAMI SERING DIDERA’

Seorang doktor berkongsi pengalamannya melalui suasana toksik hampir setiap hari semasa menjalani housemanship di sebuah hospital awam dua tahun lalu yang mana dicaci, diherdik dan dihina menjadi realiti pahit harus ditelan bagi menjayakan latihan klinikal itu.

Dia yang kini seorang pegawai perubatan memberitahu, setiap doktor pelatih pasti me­lalui penderaan mental yang boleh menyebabkan mereka kemurungan semasa housemanship dan berdepan risiko tempoh latihan dianjakkan lebih lama jika menyuarakan perkara berkenaan.

“Budaya buli ini sudah sebati di hospital. Pelbagai laporan dan aduan dibuat namun masih tiada tindakan progresif diambil oleh pihak atasan bagi mengatasi masalah ini.

“Hierarki dalam bidang perubatan memang benar wujud, bukan rekaan semata-mata untuk menghangatkan isu ini. Kebanyakan senior akan memperlekeh doktor pelatih khususnya yang masih baharu. Mereka ditengking dengan pelbagai cacian di depan pesakit-pesakit.

“Dahulu baharu sebulan saya bergelar doktor pelajar, sudah menghadapi kemurungan ke­rana sering dimaki dan dicaci hanya kerana tidak menepati kehendak senior.

“Namun saya bernasib baik dapat bertahan dan melepasi fasa itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

DIGANGGU KETIKA REHAT, HARI CUTI

Sementara itu, seorang doktor pelatih yang menjalani latihan klinikal di sebuah hospital Lembah Klang berkata, dia sering diganggu ketika sedang rehat atau pada hari cutinya supaya datang bekerja tetapi tidak diberi tugas apabila hadir ke hospital.

“Kalau hari cuti pun memang macam tak bercuti, kena panggil pergi wad tetapi bila sampai ditengking pula depan khalayak ramai. Ugut-ugutan itu pula sudah biasa, selagi tidak tamat latihan klinikal selagi itu mental kami didera,” jelasnya.

Sementara itu, seorang pelajar daripada universiti awam yang sedang menunggu tempat untuk menjalani latihan berharap Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan bekerjasama menghapuskan budaya toksik itu.

“Apabila membaca berita-berita yang didedahkan akhbar, saya sangat khuatir dan gelisah untuk menjalani latihan di dalam industri kerana takut menghadapi situasi sama se­perti mangsa. Jadi, saya berharap sangat budaya ini dapat dihentikan,” jelasnya.

MESYUARAT KHAS DOKTOR PELATIH, JUNIOR

Dalam pada itu, Kerajaan Ne­geri Pulau Pinang akan me­ngadakan Mesyuarat Exco Kesihatan Khas bersama doktor pelatih dan doktor junior bagi membincangkan mengenai isu di tempat kerja yang dihadapi mereka pada masa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, mesyuarat itu akan diadakan selepas Majlis Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Kerajaan Negeri diadakan dalam tempoh terdekat.

Jelas beliau, Majlis Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Kerajaan Negeri itu diadakan bagi membincangkan isu membabitkan doktor pelatih dan doktor junior sekali gus mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi mereka.

“Saya juga telah memaklumkan isu ini kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan kepada mereka yang terlibat dengan Kementerian Kesihatan,’’ katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum ini, seorang doktor pelatih yang menjalani latihan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dilaporkan maut terjatuh selepas mayatnya ditemukan di pekarangan bangunan di Jalan Datuk Keramat, Georgetown.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes tersebut disiasat sebagai mati mengejut.

Menurut Norlela, Kementerian Kesihatan mempunyai ribuan kakitangan yang ikhlas dan bekerja keras untuk menyelamatkan ribuan nyawa.

‘’Saya telah menerima begitu banyak pandangan tentang isu yang dihadapi oleh doktor pelatih dan doktor junior serta cadangan tentang cara untuk merombak sistem sedia ada.

“Saya berharap Kementerian Kesihatan akan mengubah budaya menyimpan segala-gala­nya secara rahsia kerana ia amat mengecewakan kerana sukar untuk menembusi tembok ini bagi mendapatkan kebenaran dan menyelesaikan masalah sebenar,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN