Status halal rumah sembelih di Australia diragui - Utusan Malaysia

Status halal rumah sembelih di Australia diragui

TANGKAP layar rakaman video penyembelihan haiwan yang dilemaskan dalam darah untuk dimatikan di sebuah rumah penyembelihan di Australia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Yang mengejutkan, pusat penyembelihan di Lobethal, Selatan Australia itu ada dalam senarai diiktiraf kerajaan Malaysia dan mendapat perakuan badan pensijilan halal luar negara di Australia.

Malah aktiviti penyembelihan juga dibuat secara penganiayaan terhadap haiwan apabila ada ternakan seperti biri-biri dilemaskan dalam darah haiwan itu untuk dimatikan.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor mendakwa, beliau mempunyai bukti kukuh menerusi maklumat diperoleh daripada pekerja rumah penyembelihan itu termasuk melalui rakaman video yang mendedahkan segala ketidakpatuhan prosedur penyembelihan halal yang berlaku bertahun-tahun.

 

FAIZAN MOHD. NOR

Menurut beliau, ada antara haiwan seperti biri-biri dan lembu dipukul menggunakan kayu atau membiarkan anjing menggigit haiwan-haiwan itu sebelum disembelih sekali gus melanggar piawaian antarabangsa atas dasar kesalahan penganiayaan terhadap haiwan.

“Amalan penyembelihan yang dilakukan adalah keji kerana haiwan dibiar lemas dalam darah haiwan yang disembelih. Ini bukan sahaja tidak bersih tetapi juga melanggar protokol halal, sekali gus menjadikan daging yang dimakan umat Islam Malaysia dari Australia sebagai bangkai dan haram.

“Difahamkan walaupun ada penyelia halal berada di rumah penyembelihan tersebut tetapi pekerja berkenaan tidak melakukan apa-apa tindakan, malah pekerja itu diugut akan kehilangan pekerjaan sekiranya mereka bercakap mengenainya,” katanya di sini semalam.

 

Penyelia halal

Faizan berkata, pekerja itu turut mendedahkan, penyelia halal yang ditugaskan tidak mengamalkan Islam dengan betul sekali gus tidak layak melaksanakan tugas pemantauan halal.

Malah, katanya, syarikat rumah penyembelihan itu tidak menepati peraturan Malaysia yang menetapkan syarat perlu ada dua orang penyembelih, seorang pemantau halal dan seorang penyelia, sebaliknya mereka hanya mempunyai tiga pekerja meliputi seorang sahaja penyembelih.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana rumah penyembelihan ini boleh beroperasi tanpa pemantauan atau terdapat salah laku pihak tertentu yang menutup perbuatan tidak beretika melibatkan pematuhan standard penyembelihan mengikut syarak serta prosedur ditetapkan industri halal.

“Selama bertahun-tahun pihak tertentu mendiamkan diri daripada memastikan standard pematuhan penyembelihan dipatuhi tetapi tidak mengambil tindakan sewajarnya.

“Berdasarkan borang pengeksportan sebanyak 45 peratus bekalan daging seperti kambing, biri-biri dan lembu dari pusat penyembelihan tersebut dieksport ke Malaysia,” katanya.

Dalam hal ini, Faizan berkata, laporan berhubung pendedahan itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meneliti beberapa aspek integriti dalam kalangan pelaku yang terlibat dalam aktiviti ini.

Pada masa sama, pihaknya akan menghantar memorandum bantahan kepada kedutaan Australia berhubung kegiatan rumah penyembelihan di negara berkenaan yang jelas menyalahi undang-undang antarabangsa.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN