PETALING JAYA: Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menolak persepsi beliau antara pimpinan yang tidak menyerlah sejak pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sebaliknya optimis mempertahankan jawatannya di cabang Setiawangsa dan menang Naib Presiden yang ditandinginya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, meskipun kali ini dicabar orang baharu iaitu pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki Aksan, namun catatan pertambahan keanggotaan daripada 1,800 kepada 5,000 ahli meliputi 15 ranting adalah rekod yang cukup baik.

Jelasnya, ia sekali gus menolak persepsi umum yang menyatakan beliau antara pimpinan yang tidak menyerlah sejak pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Ini PKR, ia adalah parti terbuka dan demokrasi. Saya bertanding di peringkat cabang pada pemilihan 2007, sehingga hari ini tidak ada yang saya menang dengan ‘menang percuma’.
“Jadi nak cabar saya, itu hak mereka. Saya masuk ke Setiawangsa, saya buat kerja sejak 2015 dan ia bukan kerusi ‘favourite’ PKR, tetapi saya ada keyakinan dan kekuatan di Setiawangsa untuk pertahankannya.
“Dulu tiga penjuru, kali ini dua penjuru. Ia bukan luar biasa dan itu persaingan yang sihat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Saingan
Mengulas lanjut bagi peringkat pusat pula, Nik Nazmi berkata, saingan daripada 16 pemimpin PKR lain juga dikatakan turut memberi kelebihan kepada dirinya dengan prestasi rekod baik di peringkat nasional.
“Saya mengambil cabaran yang susah seperti bertanding Seri Setia pada 2008 yang merupakan kubu UMNO dan Setiawangsa yang juga kerusi UMNO, namun kalah pertama kali pada 2018. Jadi atas kesedaran itu, maka saya yakin anggota semua dapat melihat prestasi saya dan insya-Allah pertambahan ranting dari 400 kepada 2,400 sewaktu saya menjadi Ketua Setiausaha Pengelola.
“Jadi, itu satu rekod yang baik dan ketika saya dalam AMK, ramai anak muda yang kita telah tonjolkan seperti Chang Lih Kang, Akmal Nasir dan Amin Ahmad,” jelasnya.
Pencalonan bagi jawatan Naib Presiden PKR menyaksikan 17 calon menawarkan diri bertanding pada pemilihan bagi penggal 2022/2025.
Penyandang jawatan, Tian Chua pada 27 Mac lalu, mengumumkan tidak mempertahankan jawatan itu, manakala Rafizi Ramli menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden dan Nurul Izzah Anwar pula meletak jawatan pada 2018.
Dalam masa yang sama, Nik Nazmi turut memaklumkan yang beliau telah menyatakan hasrat untuk kekal mempertahankan kerusi Parlimen Setiawangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, namun ia terpulang kepada Presiden parti untuk menentukannya kelak.- UTUSAN










