108,757 saman trafik tertunggak, polis buru pesalah trafik Singapura

108,757 saman trafik tertunggak, polis buru pesalah trafik Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula memburu pesalah trafik warga Singapura yang gagal melunaskan sebanyak 108,791 saman tertunggak yang dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta sejak 2016 hingga tahun lalu susulan pembukaan pintu sempadan negara pada 1 April lalu.

Daripada 143,427 saman yang dikeluarkan, hanya 24.1 peratus atau 34,636 dilunaskan.

Nilai saman yang dikeluarkan bagi setiap kesalahan saman berkenaan antara RM150 sehingga RM300.

Bagi memastikan operasi penguatkuasaan lebih berkesan, polis menggunakan 40 alat Pengimbas Pendaftaran Kenderaan (iCOPS) yang lebih moden untuk mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan saman berstatus waran tangkap.

MAT KASIM KARIM

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, pesalah trafik terbabit yang masih mempunyai saman tertunggak (Pol. 170A atau Pol. 257) di bawah Seksyen 66J Akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 dan di bawah Seksyen 24(4) Akta Polis 1967 boleh dihalang keluar dari negara ini.

Malah, katanya, sekiranya pesalah trafik berkenaan mempunyai saman berstatus waran tangkap, dia boleh ditahan sebelum dituduh di mahkamah dalam tempoh yang segera.

“Jika tidak dapat dituduh pada hari yang sama, pesalah trafik berkenaan akan ditahan sekiranya tidak dapat mengemukakan penjamin dalam kalangan warganegara Malaysia, sebelum dituduh keesokan harinya.

“Berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada, PDRM mempunyai kuasa menghalang kenderaan warga Singapura yang mempunyai saman tertunggak meninggalkan sempadan Malaysia selagi tidak menjelaskan bayaran saman,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, kata Mat Kassim, pesalah trafik warga Singapura yang mempunyai saman Pol. 170A juga boleh ditukarkan status saman berkenaan kepada notis saman Pol. 257 dengan menetapkan tarikh perbicaraan terhadap mereka.

Jelas beliau, sekiranya mereka gagal hadir maka waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya.

“Penukaran status saman ini dilakukan berdasarkan Seksyen 115(1)(a) Akta JPJ 1987.

“Sehubungan itu, pesalah trafik berkenaan mempunyai pilihan sama ada menghadapi tuduhan berkenaan di mahkamah atau menjelaskan saman berkenaan sebelum meninggalkan negara ini ataupun sebelum tarikh perbicaraan berkenaan,” tegasnya.

Dalam pada itu, kata Mat Kassim, mesin pengimbas iCOPS yang digunakan PDRM juga akan dihubungkan terus kepada pangkalan data dapat mengesan kenderaan hilang atau yang dilaporkan curi termasuk kenderaan klon.

Dalam perkembangan sama, kata Mat Kasim, sepanjang tempoh enam tahun itu juga, kesalahan pandu melebihi had laju mencatatkan kesalahan yang paling tinggi dilakukan pesalah trafik warga Singapura ini apabila 7,386 saman dikeluarkan diikuti potong queue ‘Q’ (3,952 saman).

“Selain itu, sebanyak 1,387 saman pula adalah melibatkan kesalahan abai isyarat lalu lintas diikuti tidak memakai tali pinggang keledar (1,327 saman) ; tidak mematuhi lampu isyarat (765 saman).

“Di antara kesalahan lain, ialah nombor plat tidak ikut peraturan, kemalangan, halangan lalulintas dan tiada lampu brek serta pelbagai lagi kesalahan lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN