PRN Johor: 'Jiwa saya jauh lebih muda walaupun usia 61 tahun'

PRN Johor: ‘Jiwa saya jauh lebih muda walaupun usia 61 tahun’

SHARIFAH AZIZAH SYED ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Usia 61 tahun bukan penghalang untuk calon Barisan Nasional N29 Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dipilih menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Ini kerana Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, sentuhan beliau kepada anak muda lebih ‘halus’ berbanding saingannya yang merupakan tiga calon lain lelaki daripada Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Negara (Warisan) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor 12 Mac ini.

Beliau yang lebih mesra disapa ‘Umi’ dikatakan hanya menjadi diri sendiri untuk mendekati penduduk dan dilihat dirinya begitu disenangi masyarakat berikutan Sharifah bukan orang asing di DUN Mahkota.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun seusia begini, dengan 13 orang cucu, kita perlu ikut trend mereka. Umi ada cara tersendiri untuk mendekati mereka. Dan Umi juga ada Tiktok sama seperti mereka. Malah, Umi masih didampingi golongan muda, mereka duduk di bilik gerakan bersama Umi sehingga jam 2 pagi, sebab Umi suka layan mereka.

“Dalam masa yang sama kita memberi nasihat mengikut budaya orang Melayu, Umi juga dekat dengan para pelajar.

“Jadi jika sebelum ini Umi di DUN Penawar mampu tawarkan khidmat kepada mereka sebagai wakil rakyat, apa salahnya jika penduduk di Mahkota memberi kepercayaan kepada Umi yang merupakan orang asal di Mahkota untuk menjadi wakil rakyat di sini,” katanya dalam program Sembang Politik, malam tadi.

Shariffah merupakan anak kepada Ketua UMNO Bahagian Kluang yang pertama, Allahyarham Datuk Syed Zain Al Shahab dan beliau dikatakan ingin meneruskan legasi arwah bapanya.

Beliau akan berhadapan saingan dari tiga calon lain di kerusi DUN Mahkota melibatkan Mohamad Nor Lingan daripada PN, Muhammad Taqiuddin Cheman mewakili PH dan Mohamed Noor Suleiman daripada Warisan.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DUN Mahkota dimenangi calon PH dari Amanah, Muhamad Said Jonit dengan undian sebanyak 19,507 mengalahkan calon BN, Datuk Md. Jais Sarday dan Pas, Muhammad Hasbullah Md. Najib.

Tambah Sharifah, beliau tidak menolak calon muka baharu perlu diperkenalkan bagi menarik minat pengundi, namun pengaruh beliau sebagai orang lama juga harus ada bagi memantapkan kekuatan parti BN. 

“BN sudah tapis dan tapis, dan calon sekarang memang layak. Sesungguhnya kerja ini memerlukan kerja bersepadu. Memang orang lama jarang berubah tapi orang muda mudah melatah.

“Jadi pada Umi, Umi anak tempatan, kenapa orang Mahkota nak pilih orang bukan dikenali? Umi telah lama berkhidmat di Kluang, Umi tidak pernah jadikan jawatan Ketua Wanita sebagai orang politik. Umi yakin rakyat tidak rugi jika rakyat memilih Umi termasuk anak muda nanti, ” ujarnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×