PRN Johor: Peluang BN-PN 50-50 - Utusan Malaysia

PRN Johor: Peluang BN-PN 50-50

politik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Berbaki empat hari lagi tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pemerhati politik melihat pertarungan sebenar adalah antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dengan kedudukan 50-50 untuk membentuk kerajaan negeri.

Justeru, kesemua 239 calon PRN Johor tidak boleh berasa selesa kerana status kawasan putih berisiko bertukar kelabu dan hitam pada bila-bila masa.

Malah, sehingga semalam, 11 parti yang bertanding belum dapat membuat rumusan awal potensi menang kerana sukar menjangka pola sikap 756,000 pengundi baharu, dikusutkan lagi saingan sengit sehingga tujuh penjuru.

Walaupun BN atau PN menjadi tumpuan, Utusan Malaysia dimaklumkan dari bilik perang (war room) beberapa parti, terdapat 10 daripada 56 kerusi yang menjadi gelanggang sengit, malah mungkin menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan negeri.

Ia membabitkan nama-nama besar seperti ahli Parlimen, bekas menteri, menteri besar dan Exco.

Sepuluh kerusi berkenaan adalah Simpang Jeram, Bukit Kepong, Gambir, Parit Yaani, Rengit, Layang-Layang, Endau, Puteri Wangsa, Paloh dan Skudai.

Simpang Jeram misalnya membabitkan pertembungan empat penjuru antara Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub daripada PH dengan calon BN, Datuk Lokman Md. Don dan Mahaizal Mahmor (Pejuang) serta Zarul Salleh (PN).

“Salahuddin ‘masih ada nama’ kerana pernah menjadi menteri tetapi tidak boleh selesa kerana lawannya terutama dari BN buat kerja di kawasan,” kata sumber di sini semalam.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Sallahuddin menang dengan majoriti 7,687 undi.

Situasi sama dihadapi calon PKR, Dr. Maszlee Malik di DUN Layang-Layang apabila peluang ahli Parlimen Simpang Renggam dilihat samar kerana menerima tentangan sengit calon BN, Abd. Mutalib Abd. Rahim.

Abdul Mutalib, Exco agama pada era menteri besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dikatakan mendapat sokongan kuat akar umbi, selain rekod cemerlang menang kerusi Layang-Layang pada PRU-13.

Sallahudin dan Maszlee disebut-sebut calon menteri besar sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan negeri Sabtu ini.

Bagi PN pula, bekas Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berdepan Ketua Bahagian UMNO Pagoh, Ismail Mohamed di Bukit Kepong.

“Kedua-duanya, masing-masing kini dan pernah menjadi orang kuat presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ismail dulu bekas exco, timbalan ketua bahagian kepada Muhyiddin di Pagoh. Bagaimanapun populariti Sahruddin mungkin menyekat kemaraan Ismail,” kata sumber.

 

Kerusi Gambir

Sementara itu, nama Ketua Penerangan Bersatu Johor, Solihan Badri juga tidak terlepas daripada cakap-cakap mengatakan andai berjaya mempertahankan kerusi Gambir dimenangi Muhyiddin pada PRU-14, beliau mungkin seperti Sahruddin dicalonkan menteri besar.

“Bekas wartawan ini memenangi DUN Tenang, sebelum bertukar ke Gambir kali ini. Tumpang di kerusi Muhyiddin boleh jadi laluannya mudah,” katanya.

Dalam pada itu, laluan getir turut dilalui DAP Johor untuk mengekalkan kesemua 14 kerusinya walaupun dikatakan berstatus hitam kepada BN dan MCA khususnya.

Kemungkinan sejarah PRN Melaka 20 November tahun lalu berulang di sini tidak ditolak.

Difahamkan, ia berikutan dua kerusi iaitu Skudai dan Paloh berlalu penolakan akar umbi DAP selain majoriti tipis diraih dalam PRU14.

Calon PH Skudai, Marina Ibrahim dikatakan kurang disenangi pengundi yang masih setia dengan penyandang, Tan Hong Pin. Calon Paloh, Sheikh Umar Ali pula hanya menang tipis 783 undi dalam PRU14.

Pada masa sama, BN turut dihimpit kebimbangan memasuki pusingan kedua kempen apabila difahamkan telah menukar ‘bacaan’ menang dua pertiga kepada berbaki 30 hingga 33 kerusi sahaja.

“Beberapa kerusi disasarkan putih bertukar kelabu membabitkan kawasan kubu kuat seperti Endau dan Rengit.

Percubaan ‘berani mati’ mengetengahkan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Mohd. Puad Zarkashi di Rengit yang dikatakan menerima tentangan akar umbi berisiko menyebabkan BN hilang awal satu kerusi.

“Awalnya nama penyandang, Datuk Ayub Jamil dikekalkan tetapi tidak kesampaian atas faktor kapasiti ‘ketua bahagian’. Begitupun kemelut itu dikatakan berjaya ditangani kepimpinan tertinggi parti minggu lalu,” menurutnya.

Sementara itu, DUN Puteri Wangsa yang awalnya dijangka mampu dimenangi calon Parti Ikatan Demokratik (Muda), Amira Aisya Abd. Aziz kini berdepan jalan sukar apabila gerak kempennya dikatakan tidak kemas dan hambar.

Sementara itu, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong tidak mempunyai masalah menang di Perling memandangkan kerusi itu memang kubu kuat DAP. DAP menang
majoriti 19,533 undi di situ pada 2018.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, setiap parti mempunyai kelebihan namun segalanya bergantung kepada kempen saat akhir menjelang Sabtu.

Kata beliau lagi, pengundi luar dan kawasan Felda dijangka menjadi penentu kemenangan kepada parti-parti Melayu.

“PN terutama Bersatu agresif mainkan isu-isu Felda dan cuba meraih sokongan peneroka kalangan ahli UMNO,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×