JOHOR BAHRU: Pas tidak mengikut jejak langkah Kelantan dan Terengganu untuk melaksanakan agenda Islam dalam pentadbiran Johor sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ini kerana Johor mempunyai kefahaman agama yang baik berikutan mempunyai sistem pendidikan Islam terhadap generasi muda bermula sejak peringkat sekolah rendah.
“Jadi, kita di Johor, tiada isu dalam bab itu (agenda Islam) kerana sejak kecil lagi semua rakyat Johor diajar dengan kefahaman dan pendidikan agama dan ini satu perkara yang amat baik.
“Perkara ini jelas menunjukkan kefahaman agama di Johor adalah lebih baik dan kukuh. Namun paling utama adalah asas PN dan Pas untuk memperjuang soal integriti yang merupakan ajaran dituntut dalam Islam,” katanya.
Dalam pada itu, calon PN DUN Senggarang itu berkata, Pas tidak akan mengulangi episod rekod kekalahan sehingga hilang wang deposit seperti berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Johor.
“Juga semasa kalah dalam PRN Melaka kerana situasinya berbeza kali ini dengan Pas di Johor mempunyai kekuatan akar umbi di seluruh negeri,” katanya.
Justeru, beliau yakin pihaknya mempunyai peluang cerah, sekali gus meraih kemenangan pada 12 Mac ini dengan sokongan padu bukan sahaja ahli Pas tetapi ahli komponen PN lain.
“Alhamdulillah sokongan kepada PN amat baik bukan sahaja orang Melayu, tetapi kaum Cina dan India yang mahukan parti alternatif lain selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya. – UTUSAN











