Kartel PDRM: Hamid tak mahu komen hasil siasatan EAIC - Utusan Malaysia

Kartel PDRM: Hamid tak mahu komen hasil siasatan EAIC

Abdul Hamid Bador enggan mengulas hasil siasatan kartel PDRM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Hamid Bador enggan memberi komen berhubung rumusan siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang tidak menemui bukti kewujudan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti didedahkan beliau.

Memberitahu Utusan Malaysia, Abdul Hamid berkata, bekas Ketua Polis Negara itu kini sibuk mengusahakan tanaman sayur dan ternakan ikan bagi membantu meningkatkan bekalan kepada rakyat yang semakin terbeban dengan harga makanan yang tinggi.

“Inilah usaha dan sumbangan ikhlas saya kepada negara. Misi saya kali ini adalah berusaha dengan jujur dan sentiasa bersyukur kerana masih dianugerahkan dengan kesihatan dan sifat-sifat jujur.

“Lebih baik saya tumpukan masa yang tinggal sedikit ini dengan kerja-kerja kebajikan untuk membantu mereka yang kurang upaya..a mar ma’ruf nahi munkar,” kata beliau semasa dihubungi semalam.

Abdul Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan EAIC bahawa beliau kini sudah hilang hak untuk membuat komen berkenaan isu kartel dalam PDRM.

EAIC dalam kenyataan kelmarin memaklumkan, Abdul Hamid tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan kewujudan kartel seperti didedahkan beliau pada Mei tahun lalu.

Selain itu, bekasa Ketua Polis Negara itu juga tidak menamakan mana-mana pegawai yang terlibat dalam isu tersebut selain beliau mengakui semasa memegang jawatan sebelum ini tidak pernah membangkitkan dalam mana mana mesyuarat melibatkan Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM.

Justeru, barisan Pesuruhjaya EAIC mendapati Abdul Hamid selaku Ketua Polis Negara ketika itu tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN