PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang membina rumah atau melakukan ubahsuai sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi berkemungkinan tidak sempat beraya di rumah baharu masing-masing.
Ini kerana, kontraktor dan pemaju ketika ini berdepan masalah kekurangan pekerja selain harga barang binaan yang melambung tinggi untuk meneruskan projek pembinaan baharu dan mengubahsuai rumah.
Situasi itu juga menyebabkan kira-kira 10,000 unit rumah sama ada dibina persendirian atau oleh kontraktor di seluruh negara mengalami kelewatan untuk disiapkan susulan masalah kekurangan buruh asing.
Masalah yang merangkumi 3,000 projek perumahan itu berlaku sejak Mac 2020 dan dijangka angka ‘rumah atau projek sakit’ akan terus meningkat sehingga kemasukan warga asing lancar dan pintu sempadan dibuka.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion berkata, ketika ini, pihaknya terpaksa membuat penggiliran projek kerana berdepan masalah kekurangan pekerja.
Tukiman berkata, ada sesetengah projek perumahan dan projek pembinaan lain juga terpaksa dihentikan sementara bagi menunggu harga barang binaan seperti besi kembali stabil di pasaran.
“Sekarang ramai yang ingin bina rumah baharu dan ubah suai rumah untuk persediaan Hari Raya Aidilfitri. Saya bimbang jika tidak sempat siap, mereka tidak akan dapat beraya di rumah baharu nanti.
“Kekurangan pekerja warga asing yang berkemahiran ketika ini memberi impak kepada sektor pembinaan, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka balik ke negara asal namun, tidak boleh kembali ke Malaysia.
“Situasi ini menyebabkan kita tiada pekerja mahir, yang tinggal hanya pekerja biasa sahaja. Keperluan kepada pekerja mahir dalam sektor pembinaan ini sangat mendesak. Jika tiada, akan timbul masalah,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Tukiman, untuk proses ubah suai yang sederhana ataupun tidak melibatkan pembinaan yang banyak, pemilik juga terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama kerana pihaknyan terpaksa membuat penggiliran pekerja.
Mengulas lanjut mengenai harga barang binaan, Tukiman berkata, ada sesetengah projek yang terpaksa diserahkan kembali kerana kontraktor tidak mampu untuk menampung kenaikan harga barang binaan ketika ini.
“Harga barang binaan sekarang sangat mahal terutamanya yang berasaskan besi. Masalah ini juga menjadi faktor (lambat siap)…sekali gus menyebabkan kerja-kerja pembinaan menjadi perlahan dan lambat siap.
“Sebabnya kita terpaksa hold sebab mahu tunggu harga besi kembali stabil di pasaran. Ini kerana, harga di awal perjanjian tidak setimpal selepas harga barang binaan melambung di pasaran. Jadi perlu tunggu atau kita serahkan kembali projek,” jelasnya.
Mengulas isu yang sama, Presiden Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM), Hasniro Hasbullah berkata, masalah kekurangan pekerja khususnya melibatkan warga asing sangat serius dan bukan sahaja membabitkan projek perumahan malah, turut melibatkan sektor lain.
Menurut beliau, semua kontraktor dan projek persendirian kini tidak dapat menyiapkan kerja-kerja dijanjikan sehingga mereka berisiko untuk membayar pampasan ganti rugi kerana lewat.
“Malah, ada projek yang diterima sejak berbulan-bulan belum dapat dimulakan lagi. Saya percaya, kelewatan tersebut turut menyebabkan pemilik rumah kecewa dan terpaksa menunggu lama untuk memasuki rumah baharu,” katanya. – UTUSAN










